Artikel Umum Linguistik Kembara JatengTim 2017 Personaliti Sejarah

Pak Kalend Osen, Pengasas Kg. Bahasa Inggeris Pare

Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017

Memetik kata-kata Pak Kalend ketika beliau meninggalkan Tanah Borneo pada usia 27 tahun untuk ke Pulau Jawa…

“Saya tahu saya perlu keluar dari hutan ini dan lakukan sesuatu dalam hidup saya. Saya juga tak punya agama dan saya perlukan ia.”

“Inilah masanya saya lakukan revolusi kehidupan…”

Kampus Basic English Course di Pare

Hari sudah menganjak ke Asar dan kami baru sahaja tiba di Pare.  Aku sudah berpesan kepada Ali dan Zaini ketika menikmati air tebu sari berhadapan dengan Candi Surowono yang kami akan melawat Kg. Bahasa Inggeris, lebih tepat lagi ke BEC.

Penunggangan hari ini tidaklah terlalu berat, namun hujan yang turun renyai-renyai ketika melewati Selorejo agak memenatkan. Apa-apa pun ke Kg. Bahasa Inggerislah kami.

Sebaik sahaja aku menongkat motorku di hadapan BEC, aku terus menuju ke arah segerombolan anak muda yang sedang bersembang kosong. Aku lalu bertanya sama ada Pak Kalend Osen masih menetap di Pare dan bagaimana jika aku ingin bertemu dengannya.

Jawapan yang diberikan oleh anak muda itu amat memeranjatkan aku,

“Pak Kalend is in the office. I’ll let him know he has visitors.” Petah anak muda ini berbicara dalam Bahasa Inggeris.

Ya, anak muda berasal dari Palembang ini tidak bisa berbahasa Inggeris 5 bulan yang lalu… I, you, no , yes pun berterabur bilangnya padaku.

Setelah menanti beberapa ketika, Pak Kalend menyambut kami di muka pintu kantornya. Pada usia yang lanjut beliau masih lagi membanting tulang mengelola sekolah ini.

Pare terletak dalam Kabupaten Kediri, Jawa Timur, mungkin nama yang agak asing bagi rakyat Malaysia. Malah, ada yang cuba membetulkan sebutanku kepada Pare Pare, sebuah destinasi indah di Sulawesi.

Bagi orang Jawa, Pare merupakan daerah yang istimewa kerana di sini letaknya Desa Tulungrejo dan Desa Pelem yang terkenal sebagai pusat pembelajaran Bahasa Inggeris indie. Indie merupakan perkataan kontemporari yang bermaksud indipendence.

Terdapat ratusan kelas Bahasa Inggeris di lorong ini. Menakjubkan!

Tahukah anda bahawa pada hari ini terdapat sekitar 200 buah pusat pembelajaran Bahasa Inggeris indie di sini dan kesemuanya ditadbir secara persendirian.

Semuanya ini dimulakan oleh seorang lelaki yang bernama Muhammad Kalend Osen. Beliau lahir di Sebulu Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur pada 20 Februari 1945 dan bukanlah anak jati Pare. Siapa sangka Basic English Course (BEC) yang diasaskannya di Dusun Singgahan, Desa Pelem, Kecamatan Pare ini bertahan malah berkembang sehingga kini.

Ayah beliau adalah seorang petani manakala beliau pula bekerja di sebuah perusahaan pembalakan yang dimiliki oleh seorang warga Singapura. Pak Kalend amat teruja dengan kebolehan orang Singapura ini berbahasa Inggeris dan bertekad mahu belajar bahasa yang asing buatnya itu. Beliau kemudiannya meninggalkan Kalimantan dan menuju Pulau Jawa untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kelihatan pelajar membonceng basikal pulang dari kelas Bahasa Inggeris

Menurut Pak Kalend, pada asalnya, BEC dibuka di kawasan masjid dan pelajarnya terdiri daripada anak-anak desa yang tidak berkebolehan berbahasa Inggeris. Kemudian, BEC berpindah ke rumah-rumah persendirian hinggalah kini mempunyai bangunannya sendiri.

Penulis bersama Pak Kalend dan Ali Gaban

Kisah kejayaan lulusan BEC yang awal telah menarik minat ramai yang datang dari seluruh pelosok Tanah Jawa dan Indonesia, malah, semakin ramai warga Malaysia yang ke sini.

Jangka masa kursus di BEC adalah 6 bulan. Namun, ada kursus di pusat lain yang menawarkan pembelajaran selama 2 minggu hingga 12 minggu dan pendaftaran seboleh-bolehnya dilakukan 2 minggu lebih awal secara atas talian.

Fasiliti di sini memang memuaskan, kita boleh menyewa basikal pada kadar idr80,000 sebulan. Amat mudah untuk ke kampung Bahasa Inggeris ini malah ada khidmat menjemput pelajar baru yang tiba di Surabaya.

Sepanjang pembelajaran di sini, kita boleh tinggal sama ada di sekitar Pare mahupun di perkampungan bahasa ini. Jika, kita menginap di dalam perkampungan bahasa, maka pertuturan harian diwajibkan dalam Bahasa Inggeris sepanjang masa.

Untuk memastikan keberkesanan, hanya kursus berdurasi 6 bulan disediakan di BEC

Cerita mulut mengatakan bahawa di desa ini semua orang bertutur dalam Bahasa Inggeris, hingga penjual mi bakso pun bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya tidak begitu, masih ramai yang berbahasa Jawa dan Indonesia. Namun, peratusan untuk bertemu penjual mi bakso yang mengambil pesanan dalam Bahasa Inggeris amatlah tinggi. Ini kerana ada di kalangan mereka yang merupakan bekas pelajar BEC ini.

Kini, sudah lebih 20,000 orang pelajar menamatkan pengajian di BEC. Ini tidak termasuk mereka yang menamatkan pengajian daripada lebih 200 lagi pusat pengajian sekitar.

Cara-cara untuk mendaftar di BEC

Industri sokongan seperti rumah tumpangan, kedai makan dan lain-lain juga mendapat tempias daripada kebanjiran para pelajar muda ke sini.

Aku juga sempat bertanya satu soalan yang telah lama bersarang di dalam fikiranku.

“What is your biggest motivation when you started all these many years back?… When you have nothing…” soalku pasti.

Pak Kalend merenung jauh sejenak lalu berkata,

“I just want some money to live you know…” ujarnya jujur.

Aku pasti beliau pun tidak menyangka usaha awal beliau yang sederhana itu kini menjadi buah mulut seantero Indonesia dan Nusantara.

30 minit yang kuhabiskan bersama Pak Kalend merupakan antara masa dan waktu yang paling berbaloi dan indah buatku dalam pengembaraan JatengTim ini.

Sesungguhnya ada pengajaran yang aku boleh ambil daripada kisah hidup sosok manusia hebat ini.

Benarlah kata pepatah Inggeris,

“Heroes Don’t Wear Cape”

atau…

Wira Dunia Sebenar Itu Tidak Memakai Mantel (seperti Superman)!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *