Pada pertengahan bulan April yang lalu aku telah memulakan kembara Tanah Jawa yang aku namakan Kembara JatengTim 2017. JatengTim adalah singkatan kepada Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Perjalanan merentasi JatengTim ini menggunakan motosikal kapcai dan untuk kembara kali ini aku ditemani oleh dua orang temanku yang menaiki sebuah lagi motosikal.
Perjalananku bermula pada hari ketiga dari Kudus melalui Jepara, Rembang, Tuban, Paciran sebelum menamatkan perjalanan hari kelima di Kota Lamongan yang terkenal dengan sotonya.
Semuanya berlaku pada hari kelima ini.
Hari semakin lanjut, panas… dan ada pula perarakan besar di jalan utama sekitar Paciran.
Aku terpisah daripada Ali dan Zaini menyebabkan aku terpaksa menanti mereka di hadapan pintu masuk Makam Sunan Drajat. Oleh kerana aku belum lagi bersolat jama’ takhir Asar/Zohor, aku meneruskan perjalanan sedikit lagi ke hadapan dan tiba di sebuah desa yang bernama Banyubang Solokuro.
Di manakah desa ini? Entah.. aku pun tak pasti sebenarnya. Yang aku tahu ianya terletak di antara Paciran dan Lamongan. Apa yang Google Maps katakan, semuanya aku turuti. Menuju desa ini, yang kelihatan hanyalah kebun penduduk, hutan dan binatang ternakan. Jalannya juga berlubang dan agak merbahaya jika menunggang terlampau laju.
Setiba di Masjid Banyubang Solokuro ini, aku terus menunaikan solat jamak dan pouch bag yang sentiasa setia meliliti pinggangku ini, kubuka dan kuletak di sisi sejadah.
Ya benar, di sinilah silapnya. Di sinilah aku tidak mengikut nasihatku sendiri.
Aku sebenarnya agak gusar kerana tak ketemu Ali dan Zaini ketika sampai di masjid ini. Seusai mengambil wuduk, aku ternampak kelibat mereka memberhentikan motosikal di seberang jalan masjid. Mujur Ali ternampak aku sebelum mereka memecut laju.
Lega hatiku, namun mungkin juga fokus aku sudah melayang entah ke mana, ditambah pula dengan tubuh yang sudah agak keletihan.
Selesai menunaikan solat kami meluncur laju ke arah Lamongan dan tiba di sana sekitar jam 7.30 malam. Aku dan Ali terus ke meja Receptionist dan membuat bayaran.
“Pak, katèpè atau pasportnya ada?” Tanyanya. Katèpè atau ktp adalah singkatan untuk Kartu Tanda Penduduk Indonesia seperti kad pengenalan Malaysia.
“Sebentar…” balasku.
Aku meraba pinggangku untuk mencari pouch bag tadi. Darahku berderau…
‘Aduh! Ah sudah! Mana perginya pouch bag aku ni…’
Ali memandangku agak kaget. Matanya membulat seperti tahu apa yang telah terjadi dan bakal terjadi.
Aku terus menyelongkar beg sandang, compartment motosikal dan segala tempat mungkin.
Tiada! Tiada! Tiada!
Di dalam pouch bag itu ada pasportku, wang hampir 5,000,000 rupiah, wang Malaysia dan Singapura. Kad ATM aku juga di dalam beg itu berserta dengan dua geran hak milik motosikal yang kami sewa ini.
Nampaknya semua hilang!
Nasib baik aku masih ada lebih kurang 700,000 rupiah di dalam dompet. Itu sahaja yang tinggal.
Aku mundar-mandir di dalam gelap sepanjang jalan, mencari sisa kebodohan aku.
Ini baru hari kelima pengembaraan, ada 20 hari lagi untuk aku lalui. Ini betul-betul musibah.
Adakah aku tertinggal di masjid tadi atau ianya terjatuh? Kalau terjatuh pasti Ali atau Zaini dapat melihatnya kerana mereka menunggang di belakangku. Pelbagai kemungkinan tetapi yang pasti ianya sudah hilang.
Aku sebenarnya tidaklah terlalu bersedih di atas kehilangan itu kerana aku selalu berpegang pada nasihat teman rapatku,
If you have problem, always focus on the solutions.
Cumanya aku agak kecewa dengan prestasi diri hari ini. Kecewa dan geram kerana aku agak lalai dan gagal mengikut nasihat yang selalu aku ikut, turuti, tanpa soal sepanjang aku berkelana di bumi asing bertahun sudah, berkali-kali. Bukan pertama kali pouch bag ini mengembara bersamaku.
Hendak patah balik ke Banyubang?
Masa yang akan diambil hampir sejam setengah. Bukan masalah masa dan jaraknya, tetapi keadaan jalan yang agak teruk dan menunggang di waktu malam bukanlah solusi yang bijak. Lagipun, aku sudah kepenatan di jalanan sehari suntuk dari pagi hingga petang.
Aku menghubungi nombor-nombor di Google Maps yang berhampiran dengan masjid untuk mendapatkan pertolongan. Namun, gagal juga usaha ini.
Hanya satu sahaja solusi yang ideal bagiku pada tika itu…
Pasrah, menyerah, tabah dan aku perlu hidup tanpa pouch bag itu dan isi-isinya untuk 25 hari yang mendatang.
Tidak mengapalah wahai hati… anggaplah ini suatu kifarah dan juga pengalaman serta pengajaran untuk hari muka.
Apa tindakan aku selanjutnya selepas itu? Nantikan posting akan datang tentang urusan pasport di Indonesia dan juga di tanahair.
Sekian