Aku pasrah yang kini pasport itu tidak akan ketemu lagi. Makanya, aku perlu memulakan langkah Pelan B.
Langkah 1
Buat laporan polis di Polres berdekatan. Polres bermaksud Kepolisan Resor atau balai polis.
Malam itu juga aku menuju ke Polres yang berdekatan iaitu Polres Lamongan. Bapak polisi sudah sedia menanti untuk menerima laporan. Suasana balai polisnya sama sahaja seperti di Malaysia.
Aku duduk di dalam balai, manakala Ali duduk di luar sambil berbual dengan seorang anggota polis. Kami berdua tahu ianya bukan sembang kosong kerana selepas itu polis tadi bertanyakan soalan yang sama kepada aku, mungkin untuk memastikan yang kami tidak mereka cerita sinetron jam 8.

Di dalam laporan polis itu aku sertakan maklumat ini:
1) Butiran peribadiku
2) Kronologi kisah kehilangan
3) Butiran benda yang hilang
– Nombor pasport, nama di dalamnya, tarikh dikeluarkan dan tarikh luput
– Jumlah wang yang hilang
– Kad ATM yang hilang
– Apa-apa lagi yang berkenaan
Selepas selesai membuat laporan, aku pastikan mendapat sekurang-kurangnya 3 salinan asal laporan. Polis Lamongan amat baik hati, diberinya 5 salinan. Kami bersalaman dan aku meninggalkan balai polis berkenaan.
Habis satu bab!
Perlu aku ingatkan, sebarang kes kehilangan pasport perlu dilaporkan dalam masa 24 jam, jika tidak, banyak pertanyaan dan kerenah birokrasi perlu dilalui.
Untuk tujuan klaim insurans, laporan juga perlu dilakukan dalam masa 24 jam daripada masa kejadian. Namun, hal berkaitan insurans segalanya tertakluk kepada peraturan dan termanya.
Langkah 2
Hubungi kedutaan atau konsular Malaysia yang terdekat.
Aku menghubungi Kedutaan Malaysia pada pagi keesokan harinya, waktu pejabat. Setelah menerangkan kronologi kehilangan, pegawai terbabit menyatakan yang aku tiada pilihan dan wajib pergi ke Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk mendapatkan ‘Pasport Kecemasan’. Tiada konsular di Surabaya, Yogyakarta, Solo, Pekalongan atau mana-mana bahagian Pulau Jawa. Hanya kedutaan di Jakarta.

Menurut beliau lagi, pastikan aku tidak terlepas tarikh akhir keluar daripada Indonesia.
Nasib baik kali ini aku mengembara bersama Ali dan Zaini. Dapat juga isteriku memindahkan RM800 atau sekitar 2,600,000 rupiah ke dalam akaun Maybank Ali sebagai perantara. Jadilah buat bekal perjalanan selama lebih 20 hari lagi.
Maka, selesai satu bab lagi dan aku meneruskan pengembaraan di sekitar Jawa Tengah, Jawa Timur dan Yogyakata hingga 10 Mei, sebelum aku tiba kembali ke Kota Kudus untuk memulangkan motosikal.
Aku kemudiannya, mengucapkan selamat tinggal kepada Zaini yang pulang ke Kuala Lumpur dari Semarang dan kami berdua pula meneruskan perjalanan ke Kota Jakarta yang sentiasa dalam kekalutan.
Langkah 3
Lapor diri di Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk mendapatkan pasport kecemasan.
Setiba di Jakarta dan daftar masuk hostel di sekitar Harmoni, aku menuju ke Kedutaan Malaysia seperti alamat di bawah;
Jl. H.R. Rasuna Said, Kav. X/6 No. 1-3, RT.7/RW.4, Karet Kuningan, Kota Jakarta Selatan, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 12950, Indonesia
Di sana, Jabatan Imigresen kedutaan melakukan semakan, bertanyakan beberapa soalan untuk kepastian dan akhirnya sebuah pasport kecil dan comel berwarna coklat diserahkan kepadaku.
Bayaran sebanyak 149,000 rupiah atau lebih kurang RM48 dikenakan.
Aku ingatkan semuanya berakhir di sini, rupa-rupanya tidak, pasport kecemasan aku itu perlukan kelulusan daripada Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia yang berupa stamp di dalam pasport untuk rujukan pegawai imigresen di lapangan terbang nanti.

Esok, Khamis adalah hari cuti kelepasan am, dan aku hanya ada lusa, hari Jumaat sahaja, untuk menyelesaikan segala permasalahan ini. Hari Isnin, aku sepatutnya berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Nak tak nak, aku kena selesaikan segala-galanya hari Jumaat itu.
Langkah 4
Mendapatkan kelulusan pasport kecemasan di Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia di Jakarta.
Jumaat itu, pagi-pagi lagi aku sudah meninggalkan Ali, beliau akan ke Tangerang manakala aku pula akan ke Kota Tua setelah selesai urusan pasportku. Lalu aku menuju ke Direktorat Jenderal Imigrasi yang kebetulan bersebelahan dengan Kedutaan Malaysia. Alamat pejabat ini seperti tertera di bawah;
l. H. R. Rasuna Said Kav.X – 6, Kuningan, RT.16/RW.4, Karet Kuningan, Kota Jakarta Selatan, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 12940, Indonesia
Sepagi aku menunggu giliran yang tak kunjung tiba walaupun aku yang pertama sampai. Hati sedikit kegusaran tetapi segalanya terlerai apabila aku diiringi masuk ke pejabat besar imigresen dan disoal-siasat ringkas. Segalanya berakhir dalam masa 10 minit sahaja! Separuh hari menunggu untuk urusan tak sampai 10 minit.

Geram juga hati ini tapi kalau nak mudah just flow with the flow orang kata.
Aku menghabiskan sisa pengembaraanku di Kota Tua Jakarta sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada 15 Mei 2017.
Di Bandara Soekarno-Hatta tiada masalah besar yang terjadi cuma aku dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan disoal-siasat secara ringkas oleh pegawai bertugas. Tiada isu besar, hanya untuk mendapatkan kepastian sekali lagi.
Ketika aku meninggalkan lapangan terbang ini, wang dikocekku hanya berbaki 20,000 rupiah! Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan.
Di Lapangan Terbang KLIA2 aku tidak dapat melepasi imigresen ketibaan seperti biasa. Aku diarahkan untuk melapor diri kepada pegawai yang bertanggungjawab di Pejabat Imigresen KLIA2.

Setelah membuat laporan di sana, aku diberi sekeping sampul surat beralamat Imigresen Putrajaya dan aku dikehendaki melapor diri ke Bahagian Siasatan, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya dalam tempoh sebulan daripada tarikh ketibaan.
Langkah 5
Melapor diri di Bahagian Siasatan, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Aku tiba di Jabatan Imigresen awal pagi lagi. Ramai warga asing bersidai di sepanjang koridor walaupun hari ini hari puasa. Pengunjung di dalam Pejabat Imigresen sudah ramai tetapi kelihatan kaunter-kaunter perkhidmatan beraksi dengan cemerlang sekali.

Aku tidak menunggu lama apabila nomborku diseru. Aku juga tidak perlu bercerita panjang lebar kerana pegawai terbabit sudah amat biasa dengan manusia kelam kabut hilang pasport seperti aku ini.

Hanya satu soalan sahaja yang ditanya beliau,
“Pasport ganti ni… nak buat di Putrajaya atau Sungai Petani? Kalau nak buat di sini kena tunggu 5 hari lagi.”
“Di Sungai Petani lah encik. Terima kasih ya”
Habis satu bab lagi…
Langkah 6
Membuat pasport baru di Jabatan Imigresen, UTC Sungai Petani
Pejabat dibuka tepat jam 8.30 pagi dan orang tak ramai pagi itu sebab hari bekerja. Setelah menerangkan dengan panjang lebar kepada pegawai yang bertugas, aku dikehendaki menyelesaikan beberapa perkara seperti di bawah;
1) Mengisi borang kehilangan pasport
2) Borang tersebut perlu ditandatangani dan stamp oleh Pesuruhjaya Sumpah
3) 2 helai fotostat kad pengenalan
Setelah selesai urusan ini, barulah aku dibenarkan untuk membuat pasport baru.

Denda yang dikenakan adalah sebanyak RM200 dan pasport hanya akan dikeluarkan 5 hari daripada tarikh penyerahan borang yang lengkap.
Alhamdulillah, selesai semuanya…
Begitulah serba ringkas kisah aku hilang pasport dan sedikit panduan bagaimana mengatasi kekalutan ini. Panduan ini berdasarkan kisah aku di Pulau Jawa. Kalau di Ambon atau Irian Jaya mungkin panjang ceritanya.
Apa-apa pun InshaAllah, Isnin ini aku dapat kembali pasportku.
Tak lama lagi menggeletarlah kaki tu… Nak ke mana pula ya?
Langkah 7
Panjangkan langkah anda…
Sekian 🙂