Sejarah Warisan

Pramodawardhani Dan Candi Plaosan Lor

 

Kecamatan Prambanan di Yogyakarta bisa membuat pencinta sejarah tenggelam dalam kisah dan penceritaan zaman silam. Ada berpuluh tinggalan sejarah di sini, bukan sahaja candi, tetapi juga istana lama yang tinggal tapak dan sebahagian dindingnya.

Jika diikut turutan candi terhebat di sekitar Jogja dan pinggiran Jawa Tengah, Borobudur dan Prambanan pastinya menghuni tempat pertama dan kedua, Candi Plaosan Lor semestinya di tangga ketiga diikuti oleh Istana Ratu Boko yang tidak jauh dari Plaosan Lor ini. Candi Ijo yang terletak diperbukitan sekitar Prambanan juga mungkin di tempat kelima. Ini pandangan sayalah…

Candi Plaosan Lor

Plaosan Lor adalah kompleks candi Buddha yang masih kerap dilawati oleh para biksu, ada tikanya, ratusan jumlah mereka dalam satu-satu masa.

Sesuatu yang menarik perlu kalian tahu, Kecamatan Prambanan ini dahulunya adalah kawasan pemerintahan Rakai Pikatan dari dinasti Sanjaya yang beragama Hindu, manakala Pramodawardhani yang berleluhur daripada dinasti Sailendra, beragama Buddha.

Kawasan pemerintahan Sailendra berada di Magelang dan bukannya di sini. Kerana itu jugalah di sekeliling Borobudur, terdapat banyak candi-candi Buddha seperti Sewu dan Pawon, manakala berdekatan dengan Prambanan, terdapatnya candi-candi Hindu seperti Candi Ijo dan Candi Barong. Walaupun begitu terdapat beberapa candi Buddha seperti Kalasan dan Sari di Prambanan dan yang paling besar semestinya Plaosan Lor.

Plaosan Lor dibina oleh Sri Kahulunan atau lebih dikenali sebagai Pramodhawardhani, anak kepada pemerintah Sailendra, Samaratungga.

Arca Dwarapala di Singosari, Malang

Pramodawardhani pernah disebut dalam Bait 10, Prasasti Kayumwungan seperti yang saya coretkan sebelum ini di dada muka buku.

Sa kantin candramaso gatin ca hamsat svaran ca kalavimkat se…. nam harati sri mat pramodawardhanikhyata

Maksudnya;

Kecantikannya diperolehi daripada bulan purnama, lenggangnya daripada angsa, dan suaranya daripada burung kalawingka. Ia yang mulia bernama Pramodhawardhani.

Beliau juga menamakan Candi Borobudur sebagai Kamulan Būmi Sambhāra.

Apa yang menarik saya jumpa di Plaosan Lor? Arca Dwarapala… Arca raksasa penjaga pintu yang ceritanya mampu mencabut pokok dan punyai kekuatan luar biasa. Arca ini hampir mirip yang terdapat di Singosari, Malang. Candi Singosari yang berdekatan dengan arca tersebut adalah candi sinkretisme agama Hindu-Buddha, beratus tahun selepas Plaosan Lor dibina. Jika ke Kediri, akan terjumpa pula Arca Totok Kerot yang dibina dalam posisi yang sama.

Arca Totok Kerot si Bulupasar, Kediri

Kerajaan kuno Sukhothai di Thailand juga ada arca Dvarapala yang memegang gådå (cota) tetapi posisi duduknya berlainan. Namun begitu matanya masih membulat seperti yang terdapat di Plaosan Lor dan juga di Singosari.

Ketika saya meninjau lokasi ini pada tahun 2015, saya dapati runtuhan akibat gempa bumi 2006 masih belum dibaiki sepenuhnya, malah kemusnahan itu agak teruk juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *