Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017
Ibu Raden Adjeng Kartini
Di Indonesia agak janggal jika ada rakyatnya yang tidak pernah mendengar nama ibu Kartini. Bukan hanya disebabkan Ibu Kartini itu tokoh negara, tetapi ada cuti yang dinamakan Hari Ibu Kartini. Hari cuti… pasti semua akan ingat!

Ibu Kartini merupakan ikon Kota Jepara yang terkenal dengan perabot jatinya. Jepara juga merupakan pintu masuk ke Pulau Karimunjawa yang terkenal dengan keindahan alam dan anak-anak jerung yang bermain-main di perairan cetek.

Siapakah Ibu Kartini?
Nama sebenar beliau ialah Raden Ajeng Kartini, lahir pada 21 April 1879 di Mayong, Jepara, Jawa Tengah. Ibu Kartini bukanlah lahir dari golongan marhaen tetapi bersusur-galur dengan keturunan raja-raja Keraton Hadiningrat Ngayogyakarta iaitu Hamengkubuwono.

Ayah beliau merupakan adipati Jepara, iaitu Raden Mas Adipati Ario Sosroningrat.

Ibu Kartini fasih berbahasa Belanda dan corak pemikirannya banyak didorong oleh bahan-bahan bacaan dan keilmuan dari Belanda seperti De Hollandsche Lelie dan juga suratkhabar De Locomotief yang dicetak di Semarang.

Bukan setakat membaca, ada juga penulisan Ibu Kartini yang diterima oleh penyunting majalah di Belanda untuk disiarkan, seperti yang tersiar di dalam majalah De Hollandsche Lelie tadi.

Pada tanggal 12 November 1903, Ibu Kartini telah berkahwin dengan bupati Rembang iaitu Adipati Ario Singgih Djojo Adhiningrat. Beliau merupakan isteri keempat adipati ini. Namun, minatnya yang mendalam dalam bidang keilmuan masih lagi diteruskan walaupun setelah bernikah.

Di Indonesia, Ibu Kartini diangkat sebagai wira negara, seorang pejuang hak asasi wanita, atau istilah ringkas di sana, ‘pejuang emansipasi wanita’. Penulisan-penulisan intelektual beliau yang mempersoalkan kedudukan sosial wanita di zaman pendudukan Belanda adalah sesuatu yang segar dan amat tidak digemari oleh penjajah.

Beliau mengutarakan kepentingan wanita sebagai entiti dalam pembangunan sosial dan ekonomi dan bukan tempatnya hanya di dapur. Setelah surat-suratnya ke Eropah dibukukan, slogan ‘Aku Mau…’ telah menjadi simbol kepada perjuangan nasionalisme dan feminisme di Indonesia.

Dikatakan juga, hasil daripada interaksi beliau dengan teman-teman penanya di Eropah, pemikiran kritis akan hak dan suara wanita itu terbentuk. Malah buku-buku bacaan beliau banyak bertemakan tentang kebudayaan dan beraliran feminisme seperti karya Van Eeden, Augusta de Witt dan karya Louis Coperus, De Stille Kraacht.

RA Kartini telah meninggal dunia pada 17 September 1904 setelah empat hari melahirkan anak sulungnya Soesalit Djojoadhiningrat pada usia hanya 25 tahun. Beliau dikebumikan di Desa Bulu, Rembang, Jawa Tengah.

Pada hari ini, Hari Ibu Kartini bukan sahaja memperingati jasa Ibu Raden Adjeng Kartini tetapi juga mengenang jasa dan keperwiraan wanita gagah Indonesia lainnya yang menentang penjajah seperti Dewi Sartika yang dianggap sebagai seorang pejuang dalam bidang pendidikan dan Cut Nyak Dhien yang menggunakan senjata rencong menentang penjajah di Aceh.
Insyallah Sedekah Al Fataihah Kepada ibu RA Kartini .
ikhlas Tok Putih alias Khairil Anuar Bin Haji Khairudin