Petilasan Sri Adji Jayabaya dikatakan tempatnya Raja Kediri yang paling terkenal dan amat mistis ini ‘moksa‘.
Saban tahun, pada tanggal 1 Suro atau 1 Hijrah, penganut kepercayaan Kejawen akan berkumpul di petilasan ini untuk mengadakan upacara keagamaan. Namun, sering sahaja petilasan ini dikunjungi oleh pelbagai jenis manusia dengan pelbagai jenis tujuan.
Sedikit tentang raja ini. Sri Adji Jayabaya memerintah Kediri antara tahun 1135 hingga 1157 Masihi. Penguasa Kediri yang ke-4 yang bersemayam di Panjalu, di zaman beliaulah Kerajaan Kediri dan Jenggala disatukan kembali setelah dipisahkan oleh Airlangga pada tahun 1042 Masihi.
Kakawin Bhāratayuddha yang terkenal ditulis oleh Mpu Panuluh pada zaman ini juga.
Sri Adji Jayabaya sebenarnya terkenal dengan gelaran Nostradamus Jawa kerana ramalan-ramalan beliau yang menjadi kenyataan. Ada kitab yang ditulis pada zaman Kesultanan Mataram berkaitan hal ini.
8 ramalan beliau ialah,
1) Murcaning Noyogenggong Sabdopalon
Ditafsirkan, para menteri anggota kabinet membantu Presiden seperti ikon wayang Jawa iaitu Semar yang menasihati tuannya.
2) Semut Ireng Anak-anak Sapi
Ditafsirkan, akan tiba penjajah berkulit putih dari jauh, yakni Portugis dan Belanda.
3) Kebo Nyabrang Kali
Ditafsirkan, kekayaan Nusantara di bawa ke negeri asing.
4) Kejajah Saumur Jagung Karo Wong Cebol
Ditafsirkan, pemerintahan imperialis Jepun hanya bersifat sementara
5) Pitik Tarung Sak Kandang
Ditafsirkan, Berlakunya pembunuhan tujuh jeneral dalam peristiwa Gerakan 30 September 1965 (G 30 S).
6) Kodok Ijo Ongkang-ongkang
Ditafsirkan, Soeharto naik memerintah dan terhasilnya order baru pemerintahan di Indonesia.
7) Tikus Pithi Anoto Baris
Ditafsirkan, marhaen punya mimpi dan aspirasi tetapi digagalkan oleh golongan elit dan berkuasa yang korup dan bertindak sewenang-wenangnya.
8) Reinkarnasi Noyo Genggong Sabdo Palon
Dirafsirkan, seperri juga ramalan pertama, penasihat yang berwibawa akan bangun dan membantu sang pemerintah.

Begitulah secara ringkas, ramalan-ramalan Sri Adji Jayabaya. Tak perlulah kita mempercayainya, namun, ada pengajaran dalam setiap kisah mistis Raja Kediri yang hebat ini.