Artikel Umum Sejarah

Sultan Abdullah, Seychelles Dan Tamu Agung Lainnya

Pertama kali aku mendengar nama Seychelles ialah ketika zaman persekolahan dahulu. Ketika itu subjek sejarah menyentuh tentang Negeri Perak, Dato Maharaja Lela, J.W.W Birch dan Sultan Abdullah.

Seychelles? Di manakah Seychelles?

Seychelles sesungguhnya lebih terasing daripada penjara Alcatraz di Amerika Syarikat mahupun Pulau Robben yang menempatkan tetamu agungnya, Nelson Mandela di Afrika Selatan. Vasco da Gama dikatakan telah menemui Kepulauan Seychelles yang tidak berpenghuni ini dan terletak di Lautan Hindi pada tahun 1502. Kemudian Peranchis menduduki kepulauan ini sebelum ianya diambil alih oleh British selepas termeterainya Perjanjian Paris 1814.

Kedudukan Seychelles di peta dunia (gambar ehsan Google)

Napoleon Bonaparte telah menjadikan pulau ini sebagai pusat tahanan dan buangan secara rasmi pada tahun 1801 dengan tibanya kapal yang bernama Chiffone berserta dengan tahanannya. ‘Tradisi’ ini kemudiannya diteruskan pula oleh British.

Jika Sultan Abdullah tidak dipindahkan ke sini, mungkin tidak ramai yang tahu akan kewujudan Seychelles ini dek kerana kedudukannya yang amat terasing.

Sultan Abdullah atau gelaran penuhnya Sultan Abdullah Muhammad Shah II merupakan Sultan Perak yang ke-26.

Sultan Abdullah Muhammad Shah II (gambar ehsan Google)

Pada tahun 1875, baginda telah dituduh sebagai dalang kepada pembunuhan Residen Inggeris J.W.W Birch dan dipindahkan ke Kepulauan Seychelles oleh Kolonial Inggeris.

Residen British, James Wheeler Woodford Birch (gambar ehsan Google)

Namun akhirnya, baginda dibenarkan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1892 dan meninggal dunia di Kuala Kangsar pada 22 Disember 1922.

Tahukah anda bahawa selain daripada Sultan Abdullah, Kepulauan Seychelles juga menempatkan beberapa lagi penentang agung Empayar British.

Sayyid Khalid Bin Bargash (gambar ehsan Google)

Personaliti agung yang pertama ialah Sayyid Khalid Bin Bargash Al Busaid. Baginda merupakan Sultan Zanzibar (Tanzania) yang naik takhta pada tahun 1896 tanpa persetujuan daripada British. Takhta baginda hanya bertahan selama 3 hari sebelum kapal perang British membedil istananya. Baginda berjaya melarikan diri daripada British selama 20 tahun sebelum ditangkap dan dipindahkan ke Seychelles pada tahun 1926.

Archbishop Makarios (gambar ehsan Google)

Personaliti agung yang kedua ialah Archbishop Makarios yang merupakan pemimpin terbilang di Cyprus. Beliau merupakan ikon perjuangan menuntut kemerdekaan Cyprus daripada British dan akhirnya beliau ditangkap dan dipindahkan ke Seychelles pada tahun 1956.

Padaku, personaliti ketiga ini agak menarik kerana baginda datang daripada empayar yang agak besar juga. Empat tahun setelah Sultan Abdullah pulang ke Tanah Melayu, seorang lagi raja  yang bernama Prempeh I telah dipindahkan ke Seychelles pada tahun 1896. Baginda merupakan Raja Ashanti di Gold Coast atau kini dikenali sebagai Ghana. Empayar Ashanti merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat malah mempunyai sistem sosio ekonomi serta undang-undang yang baik.

Raja Prempeh I di Seychelles (gambar ehsan Google)

Pada tahun 1822, British secara rasmi mengisytiharkan penguasaan mereka di sebahagian pantai Barat Afrika dan ini menyebabkan pergeseran dengan Empayar Ashanti yang menganggap kawasan pantai itu adalah koloninya. Penguasa British yang pertama iaitu Sir Charles McCarthy menyerang Ashanti, namun, kepalanya pula yang dipenggal dalam satu pertempuran dan British kemudiannya bertenang sehingga peluang baik muncul pada tahun 1874 dan melancarkan serangan sekali lagi ke atas Ashanti.

Raja Prempeh I di Seychelles (gambar ehsan Google)

Pihak British berjaya memenangi peperangan yang dikenali sebagai Perang Anglo Ashanti ini kerana kuasa artileri mereka dan penggunaan senapang Snider-Enfield moden, berbanding tentera Ashanti yang hanya berbekalkan senapang lantak (musket).

Dek kekalahan ini, Empayar Ashanti berpecah dan perang saudara berlaku. Akhirnya, British ‘dijemput’ untuk campurtangan bagi memilih Raja Ashanti yang baru. Prempeh I terpilih namun baginda bukanlah seorang yang mahu mengikut telunjuk British. Ada ufti yang sepatutnya dibayar tapi tidak pernah dilunaskan.

Ilustrasi Raja Prempeh I menyembah Gabenor British (gambar ehsan Google)

Sekali lagi British menghantar tenteranya menyerang Ashanti, namun, kali ini Prempeh I tidak melawan, malah melutut dan tunduk menyembah Gabenor British. Prempeh I kemudiannya ditangkap dan dihantar ke Sierra Leone sebelum ke destinasi akhir, Seychelles.

Kekuasaan Empayar Ashanti terkubur dan British mengambilalih kerajaan ini sepenuhnya. Prempeh I tinggal di Seychelles sebelum dibenarkan pulang pada tahun 1926.

Kota Victoria, Pulau Mahe, Seychelles (gambar ehsan Google)

Begitulah serba ringkas kisah tentang beberapa tetamu ternama Seychelles yang berani menentang British dan terpaksa membayar harga yang tinggi di atas penentangan itu.

Sesungguhnya Sultan Abdullah dan mereka kemudiannya akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah lampau Kepulauan Seychelles.

Akhir kata,

Tahukah anda lagu kebangsaan Malaysia yang diadaptasi daripada lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan, iaitu lagu rasmi Negeri Perak datangnya daripada lagu La Rosalie yang pernah didengari oleh Sultan Abdullah di Pulau Mahe, Seychelles?

2 thoughts on “Sultan Abdullah, Seychelles Dan Tamu Agung Lainnya”

  1. Assalamua’laykum,

    Sila check balik, Abdullah 2 adalah BUKAN sultan perak kerana sultan yang sebenar ditabal oleh pembesar2 dan rakyat melayu islam dan bukannya ditabal oleh bangsa asing yang kafir!

    Pada pendapat saya, jarang sangat seseorang yang dibuang negeri diikuti sekali oleh anak2 dan isteri malah ibunya sekali, sehingga sanggup meninggalkan segala keluarga, harta malah pangkat kedudukan dikalangan orang melayu.

    Pada saya ianya adalah kerana beliau khuatir dia dan keluarganya akan menjadi mangsa kemarahan rakyat melayu krn sanggup bersekongkol dgn penjajah kafir utk menjadi sultan walaupun sultan yang sah masih ada iaitu Sultan Ismail. (Baginda sultan ismail inilah yg memberi perintag membunuh JWWB dan bukannya Abdullah 2)

    Peristiwa pembunuhan JWWB itu pun adalah setakat ini mengikut sejarah yg dibuku teks kan oleh British. Bayangkan satu gambar pun tidak ada berkenaan penggantungan 3 orang spt yg dikata, tiada gambar pun ttg perbicaraan dan tiada gambar pun akan mayat2 perperators tersebut sedangkan bertahun selepas itu di Kota Bahru jenazah Tok Janggut begitu bangga British arak kan di sekeliling bandar dan kemudian digantung dgn kaki ke atas siap DITANGKAP GAMBAR bersama askar british! Padahal satu british resident pun idak dibunuhnya…

    Ini dah bunuh 1st British Resident in Malaya tp satu ganbar pun tak ada! Yg kita ni terima ni semua sebagai Benar kenapa?

    1. Salam Tuan,

      Terima kasih atas pandangan tuan mengenai status Raja Abdullah II ni. Saya bukan nak tolak bulat-bulat pendapat ni tetapi fakta ini telah dipersetujui oleh ahli sejarah negara yang lebih arif.

      Kalau tuan ada kajian yang bersandar pada sumber primer stau sekunder, boleh lah kemukan di ruangan komen ni.

      Kalau setakat andaian tuan, saya ucap terima kasih kerana sudi berkongsi 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *