Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017
Acapkali aku terbaca nama Sungai Brantas apabila menelusuri sejarah kerajaan-kerajaan kuno di Jawa Timur. Sebagai contoh, mitos mengatakan Ken Arok itu ditemui di tebing Sungai Brantas lalu dipungut dan dibela oleh seorang pencuri/perompak yang bernama Lembong.
Apabila Airlangga membelah Kerajaan Kahuripan kepada dua, Kerajaan Kediri dan Kerajaan Jenggala dipisahkan oleh Sungai Brantas dan Gunung Arjuna yang merupakan sumber utama sungai ini.
Kisah ini menyatakan kebuntuan Airlangga untuk membelah negaranya sama adil lalu Empu Baradha, iaitu orang besar istana yang paling dipercayai oleh Airlangga menyelesaikan kebuntuan ini.

Empu Baradha membawa sebuah kendi berisi air yang dituang ke tanah tatkala beliau terbang sambil membelah Bumi Kahuripan. Aliran air ini semakin membesar lalu menjadi sebatang sungai yang dinamakan Sungai Brantas.
Sungai Brantas merupakan sungai kedua terpanjang di Pulau Jawa selepas Sungai Bengawan Solo. Sungai ini melalui bandar-bandar utama Jawa Timur seperti Blitar, Kediri, Tulungagung, Jombang dan Mojokerto lalu memecah dua, yang pertama Kali Porong yang maju ke laut lepas melalui Sidoarjo dan satu lagi melalui Kota Surabaya, yang dinamakan Kali Mas.

Tidak hairanlah mengapa Sungai Brantas memainkan peranan yang amat besar di dalam sosioekonomi dan geopolitik masyarakat Jawa Timur suatu ketika dahulu.
Salah satu sebab mengapa raja-raja Kerajaan Kediri beria-ia benar ingin menakluk Jenggala (atau Jenggaluh) di Kahuripan adalah kerana kemakmuran dan kekayaan hasil dagangan asing dari China, Ta Shi (Arab), Parsi dan lain-lain lagi. Muara Kali Porong merupakan pintu masuk utama kapal dagang yang menghulu hingga ke Wilayah Kediri.

Kerajaan yang paling terkenal lahir berdekatan Sungai Brantas ialah Kerajaan Kanjuruhan yang wujud sezaman dengan Kerajaan Mataram Kuno di Jawa Tengah.
Ada pendapat mengatakan Kerajaan Kanjuruhan berasimilasi ke dalam Kerajaan Mataram Kuno di zaman Dyah Belitung kerana tiada bukti berlakunya peperangan di antara kedua belah pihak, malah, raja Kanjuruhan menghadiahkan sebuah candi perwara yang dibina di sekitar Candi Prambanan.
Di zaman Dyah Belitung juga istilah ‘Rakryan Kahurunan’ atau penguasa/pegawai tinggi Kahurunan digunakan untuk Wilayah Kanjuruhan.
Peninggalan Kerajaan Kanjuruhan yang masih boleh dilihat ialah Candi Badut di Dau, Malang.

Antara mitos yang paling popular mengenai Sungai Brantas ialah kewujudan Buaya Putih yang sering meminta korban sejak zaman Kerajaan Kediri lagi. Kalau anda tidak percaya, cubalah berdiri lama di tebing sungai ini.
Begitulah serba ringkas kisah tentang Sungai Brantas yang menjadi nadi utama sosioekonomi dan geopolitik masyarakat Jawa Timur.