Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 10 – Kerajaan Kediri

Sebelum wujudnya Kerajaan Singosari (Bahagian 7), Bumi Jawa Timur dikuasai oleh Kerajaan Kediri. Ibukotanya ialah Daha (Dahanapura) dan merupakan kota yang penting sehinggalah ke zaman Kerajaan Majapahit.

Kedudukan Daha di Jawa Timur (gambar ehsan Google)

Kerajaan yang nama lainnya Panjalu ini dibina pada tahun 1042 Masihi oleh Prabu Airlangga yang terkenal daripada Kerajaan Kahuripan. Sebenarnya, bukan Prabu Airlangga yang menjadi Raja Kerajaan Kediri yang pertama.

Menurut Negarakertagama dan Serat Calon Arang, Prabu Airlangga telah memecahkan Kerajaan Kahuripan kepada dua, iaitu Panjalu kepada Sri Samarawijaya Dharmasuparnawahana Teguh Uttunggadewa dan Janggala yang berpusat di Kahuripan sendiri diserahkan kepada seorang lagi anaknya yang bernama Mapanji Garasakan. Gunung Kawi dan Sungai Brantas menjadi sempadan kepada kedua-dua kerajaan ini.

Kabupaten Kediri pada hari ini (gambar ehsan Google)

Peperangan yang panjang antara Panjalu dan Janggala bermula sebaik sahaja Prabu Airlangga meninggal dunia dan ianya hanya berakhir pada tahun 1135 Masihi apabila Kerajaan Janggala dapat ditundukkan oleh Raja Kediri iaitu Sri Jayabhaya seperti termaktub dalam Prasasti Ngantang.

Tidak banyak yang diketahui tentang Kerajaan Kediri pada awal penubuhannya hinggalah pada tahun 1104 Masihi setelah Prasasti Sirah Keting ditemui. Nama Raja Sri Jayawarsa disebut di dalam prasasti tersebut.

Lakaran Raja Sri Jayabhaya (gambar ehsan Google)

Raja Sri Jayabhaya merupakan Raja Kediri yang paling terkenal. Bukan sahaja beliau menumpaskan Janggala, nama beliau juga banyak tercatat dalam naskhah kesusasteraan Jawa seperti Babad Tanah Jawi dan Serat Aji Pamasa.

Naskhah Babad Tanah Jawi (gambar ehsan Google)

Di samping itu, Raja Sri Jayabhaya adalah sosok raja yang dikaitkan dengan pelbagai misteri dan cerita rakyat. Antara cerita rakyat yang paling terkenal ialah ramalan beliau bahawa Tanah Jawa yang akan dijajah oleh bangsa berkulit pucat (Belanda), bertongkat dan mampu membunuh dari jarak jauh. Kemudian Tanah Jawa akan dijajah pula oleh bangsa berkulit kuning langsat (Jepun).

Ramalan kedua Raja Sri Jayabhaya ialah ‘kreto mlaku tampo jaran, prau mlaku ing nduwur awang awang’ yang bermaksud, kenderaan bergerak tanpa kuda, dan kenderaan itu bisa terbang.

Ramalan seterusnya ialah akan kebangkitan seorang perwira yang bernama Satria Paningit yang akan menghancurkan segala kebatilan dunia. Ada pihak yang menyamakan Satria Paningit ini dengan Imam Mahdi.

Misteri ramalan Jayabhaya (gambar ehsan Google)

Ada lagi beberapa ramalan beliau seperti yang tercatat dalam Serat Musarar dan yang disampaikan secara lisan turun-temurun.

Raja-raja Majapahit dan Mataram Islam juga dikaitkan dengan anaknya Jayaamijaya, malah Raja Sri Jayabhaya ini dikatakan menganut agama Islam kerana beliau berguru dengan Maulana Ngali Samsujen seperti tercatat dalam Serat Musarar. Naskhah ini walaubagaimanapun diragui kebenarannya oleh sejarawan.

Babad Bārathayuddha (gambar ehsan Google)

Pada zaman Kerajaan Kediri, beberapa hasil penulisan telah dihasilkan, antaranya ialah Kakawin Bārathayuddha yang ditulis oleh Mpu Sedah dan Mpu Panuluh. Ianya mengisahkan tentang kemenangan Sri Jayabhaya ke atas Janggala dan penceritaannya diadaptasi daripada kisah pertempuran Kaurawa dan Pandawa dalam Mahabhrata.

Pertempuran Pandawa dan Kaurawa dalam Babad Bārathayuddha (gambar ehsan Google)

Kakawin Hariwangsa juga ditulis oleh Mpu Panuluh. Penceritaan di dalam kakawin ini agak berlainan daripada yang terdapat di India kerana telah diolah mengikut citarasa lokal.

Kerajaan ini berakhir ketika Raja Kertajaya memerintah pada tahun 1222 Masihi. Telah berlaku perselisihan di antara Kertajaya dengan golongan Brahmana di Daha yang menyebabkan mereka berpaling tadah kepada Ken Arok yang menjadi awuku (gabenor atau wakil pemerintah) di Tumapel.

Arca Ken Arok (gambar ehsan Google)

Ken Arok pada ketika itu merupakan duri dalam daging bagi Kerajaan Kediri kerana beliau bercita-cita untuk memerdekakan Tumapel daripada kekuasaan Daha.

Perang Ganter di antara Raja Kertajaya dan Ken Arok menjadi kemuncak perbalahan ini. Akhirnya, Raja Kertajaya tewas dan berakhirlah Kerajaan Kediri yang digantikan dengan Kerajaan Tumapel atau Singosari.

Kedudukan Kediri dan Tumapel

Namun, Daha masih lagi menjadi kota yang amat penting di Jawa Timur, sebagai contoh, Tohjaya menjadikan Daha pusat pemerintahannya dalam perbalahan merebut takhta Singosari dan begitu juga Jayakatwang yang menjadikan pusat pentadbiran sementara beliau setelah membunuh Kertanegara dan menghancurkan Kerajaan Singosari.

InshaAllah aku akan berkongsi secara ringkas tentang Kerajaan Jenggala yang beberapa kali nama Jenggala ini ada dikaitkan dengan Singosari dan Majapahit.

Sekian

 

1 thought on “Tawarikh Nusantara: Bahagian 10 – Kerajaan Kediri”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *