Kerajaan Jenggala terhasil daripada pembahagian Kerajaan Kahuripan oleh Airlangga pada tahun 1042 Masihi. Seperti yang telah dinukilkan di dalam Tawarikh Nusantara Bahagian 10, Kerajaan Kediri merupakan sebuah lagi kerajaan yang diberikan kepada Sri Samarawijaya (ada yang menamakan Lembu Amisena atau nama lainnya Sri Jayawarsa).

Ada catatan yang mengatakan Lembu Amiluhung atau gelarnya Sri Jayantaka menjadi raja pertama Kerajaan Jenggala. Catatan lain pula menggunakan nama Mapanji Garasakan sebagai raja pertama.
Berkemungkinan besar nama Jenggala ini berasal daripada sebutan Ujung Galuh seperti yang terdapat dalam catatan Chou Ku Fei dalam Kitab Ling Wai Tai Ta. Jangan disamakan pula dengan Kerajaan Galuh di Jawa Barat, ianya berlainan.

Tidak seperti Kerajaan Kediri yang agak terkenal, Kerajaan Jenggala ini bagaikan sebuah kerajaan picisan yang tidak penting untuk diketahui. Mungkin ada benarnya, kerana tidak banyak yang kita tahu tentang kerajaan ini melainkan penghujung hayat kerajaan ini ditamatkan oleh Raja Sri Jayabhaya daripada Kerajaan Kediri. Tidak banyak juga prasasti yang mencoretkan nama kerajaan ini.
Namun, jika ada satu sebab mengapa Jenggala harus diberi tempat di dalam sejarah Nusantara dan Indonesia adalah kerana kedudukan ibukotanya di Kahuripan yang merupakan kota penting dari zaman Kerajaan Kahuripan hinggalah ke zaman Kerajaan Majapahit.

Sidoarjo yang berdekatan dengan Surabaya di Utara dan Lawang di Selatan dikatakan tapak berdirinya ibukota Kerajaan Kahuripan dan Jenggala ini. Kedudukan Sidoarjo yang berdekatan dengan lautan pastinya membuatkan kota ini menikmati perdagangan dengan kuasa luar seperti China dan Arab (Ta Shi). Bolehlah dikatakan Kerajaan Kediri yang terletak agak pedalaman di Selatan Kota Malang lebih bersifat pertanian atau agrarian.

Di manakah keraton atau istana Raja-raja Jenggala ini?
Ianya persoalan yang amat sukar untuk dijawab kerana tiada peninggalan fizikal untuk dikenalpasti. Panitia Penggalian Sejarah (PAPENSE) Sidoarjo 1970 yakin bahawa keraton ini berada di Kecamatan Gedangan.

Sejak dari awal penubuhan kedua-dua kerajaan ini sudah berlakunya peperangan dan dari catatan sejarah yang pelbagai boleh dikatakan Kediri lebih hebat ketenteraannya daripada Jenggala.

Serangan Inu Kertapati (dari Kediri) di zaman pemerintahan Mapanji Garasakan di Jenggala menyebabkan ibukotanya berpindah ke Lamongan, sedikit ke arah Barat Laut Sidiarjo masa kini. Kisah ini tercatat di dalam Prasasti Kembang Putih yang ditemui di Tuban.

Prasasti Ngantang yang bertarikh 1035 Masihi menyebut bahawa Kerajaan Janggala ditewaskan oleh Kerajaan Kediri di bawah pemerintahan Raja Sri Jayabhaya.
Maka, berakhirlah hayat kerajaan ini.
Sejarah dan penulisan tentang Jenggala banyak dipengaruhi oleh catatan di dalam naskhah dan kitab seperti Negarakretagama, Babad Tanah Jawi, Serat Pranitiradya, Serat Musarar dan lain-lain lagi.