Kerajaan Melayu ini telah wujud agak lama juga sebenarnya. Menggunakan jalan raya moden hari ini, jarak di antara Siak Sri Indrapura dan Pelalawan hanyalah sekitar 100km.


Pada permulaan kisahnya, kerajaan ini dikenali sebagai Kerajaan Pekantua dan dibangunkan oleh Maharaja Indera pada tahun 1380. Pada tahun 1505, Sultan Melaka ketika itu, iaitu Sultan Mansyur Shah telah mengarahkan Panglima Sri Nara Di Raja untuk menakluk Pekantua dan mengislamkannya. Nama Pekantua pun ditukar kepada Pekantua Kampar.

Dipendekkan cerita, setelah Portugis mengambil alih Melaka, Sultan Mahmud Syah 1 yang bersemayam sebelum itu di Melaka, Muar dan Bintan telah mengambil alih tampuk pemerintahan Pekantua Kampar dan kerajaan ini senantiasa di bawah pengaruh Kerajaan Johor yang berkembang pesat sehinggalah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang yang telah memutuskan talian darah Kesultanan Melayu Melaka.

Sementara itu, pada tahun 1675, semasa pemerintahan Maharaja Lela Utama, Kerajaan Pekantua Kampar telah berpindah ibukota ke Sungai Nilo dan dinamakan Kerajaan Tanjung Negeri namun hayatnya tak lama kerana sekali lagi berpindah ibukota ke suatu tempat yang telah ‘dilalaukan’ atau bermaksud ‘dicadang’ kerana Sungai Nilo telah diserang wabak penyakit yang teruk dan membunuh ramai warga kotanya. Ianya terjadi pada ketika pemerintahan Maharaja Dinda 2 pada tahun 1725.


Dari perkataan ‘lalau’ inilah yang dinamakan Kerajaan Pelalawan dan masih lagi di bawah pengaruh Kesultanan Johor.
Pada tahun 1798, Kerajaan Siak Sri Indrapura di bawah Sultan Syarif Ali (dari salasilah Raja Kecil yang mengisytiharkan dirinya sebagai putera Sultan Mahmud Mangkat Di Julang) melakukan serangan kedua (serangan pertama gagal) dan menjatuhkan Kerajaan Pelalawan ini. Sejak itu, hinggalah pada tahun 1946, Kerajaan Pelalawan di bawah kuasa Kerajaan Siak Sri Indrapura.


Kerajaan ini dibubarkan pada tahun 1946 setelah Sultan Siak Sri Indrapura yang terakhir bersetuju untuk bergabung dengan Republik Indonesia atas saranan Soekarno.
Begitulah secara ringkasnya sejarah kerajaan ini. Cukuplah sekadar untuk mengetahui serba sedikit kisah dan sejarah mengenainya.
Apa tinggalan yang masih ada di Kota Pelalawan?
Di sini terdapat masjid lama yang dinamakan Masjid Hibbah. Ia dibina pada tahun 1936 oleh Regent Tengkoe Pangeran Said Osman. Di sini juga terdapat pemakaman raja raja lama.




Terdapat juga meriam lama yang digunakan oleh kerajaan ini dan sekali imbas saiznya hampir sama dengan meriam yang digunakan oleh Kerajaan Siak.
Peninggalan yang paling menarik (jika boleh dipanggil ‘peninggalan’) ialah 3 buah bangunan yang dinamakan sebagai istana sayap. Ianya bukanlah yang asli kerana yang asli itu telah runtuh dimamah waktu dan replika yang asal pun pernah musnah dalam kebakaran.

Pada ketika aku di sini bolehlah aku bayangkan bagaimana kapal dagang menyelusuri Sungai Kampar dan berlabuh di sepanjang tebing sungai ini.


Banyak lagi yang aku boleh ceritakan mengenai kedua-dua kerajaan ini seperti kisah raja-raja, hubungan serantau dan pergeseran dengan Belanda tapi mungkin kita boleh berbicara santai dengan kopi 3 dalam 1 yang manis sebagai peneman.