Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 3 – Kerajaan Dharmasraya

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Jambi… Nama yang pastinya pernahku baca di dalam buku teks sejarah sekolah menengah zaman muda muda tak sedar diri dulu. Kini sampai juga aku ke bumi bertuah ini, bumi yang menyimpan pelbagai misteri kerajaan melayu lama. Penulisan kali ini berkisar kepada kerajaan awal Melayu Jambi iaitu Dharmasraya.

Hangpa tak pernah dengaqkan? Ni cheq nak habaq ni… Cheq nak cerita…

Menyeberangi Jembatan Pedestrian

Kerajaan Melayu Jambi telah terbina sejak dari abad ke-3 Masihi lagi. Kerajaan Melayu ini boleh dikategorikan kepada tiga zaman iaitu, yang pertama, Zaman Kerajaan Kuno yang dipelopori oleh tiga kerajaan (Koying, Tupo dan Kantoli). Tak banyak bukti dan tinggalan sejarah yang telah dijumpai Kalau tak kerana catatan kuno warga China yang berdagang atau mengembara di alam nusantara, tidaklah kita ketahui akan kewujudan kerajaan kerajaan kuno ini kerana catatan masyarakat setempat amatlah terhad.

Tepian Sungai Batanghari seusai subuh
Gentala Arasy

Zaman kedua ialah zaman Kerajaan Sriwijaya dan Dharmasraya. Kejap lagi aku akan ceritakan dengan lebih lanjut lagi tentang kerajaan ini dan hubung kaitnya dengan Kerajaan Singosari/Singhasari di Kepulauan Jawa. Lupakan dahulu mengenai Kerajaan Singosari ni sebab banyak sangat aku nak tulis pasal Singosari dan kaitannya dengan Majapahit di lain hari.

Zaman ketiga ialah Zaman Kesultanan Melayu Islam Jambi. Zaman ini akanku coretkan di penulisan Bahagian 4 siri jelajah ini.

Indahnya pemandangan pagi di Jembatan Pedestrian ini

Ok… Bermulalah kisahnya…

Kerajaan Sriwijaya yang dikatakan berpusat di Palembang telah menguasai Jambi sekitar abad ke-7 Masihi, menandakan tamatnya Kerajaan Kuno Koying, Tupo dan Kantoli. Namun, seperti yang kita ketahui, Kerajaan Sriwijaya ini telah dimusnahkan oleh Raja Rajendra Chola 1 pada tahun 1025 Masihi.

Dek kekalahan ini, ramai pembesar pembesar Sriwijaya yang melarikan diri ke hulu Sungai Batanghari. Sungai ni besar macam Sungai Pahang yea. Lalu mereka bergabung dengan kerajaan kecil Melayu Jambi yang ada di sana dan sekitar tahun 1088 Masihi, kerajaan Melayu yang dikenali sebagai Kerajaan Dharmasraya ini telah menakluk Jambi. Maka berakhirlah pengaruh Sriwijaya yang sememangnya semakin melemah di Jambi.

Menara di Gentala Arasy

Tidak banyak bukti bertulis yang ditemui selain daripada Prasasti Grahi (1183M) dan Padang Roco (1286M). Kedua dua prasasti ini menceritakan tentang Raja Wangsa Melayu (Mauli).

Kisah menarik tentang Kerajaan Dharmasraya ini ialah hubungannya yang rapat dengan Kerajaan Singosari di Kepulauan Jawa di bawah pemerintahan Kertanegara yang terkenal dalam sejarah kuno Indonesia. Beliau adalah raja yang melakukan penentangan terbuka terhadap Khublai Khan pada penghujung abad ke-14 Masihi.

Jalan lengang di pagi hari

Mengikut catatan Nagarakretagama, satu ekspedisi dari Jawa telah dihantar ke Dharmasraya yang dinamakan Ekspedisi Pamalayu (bermaksud ‘Tidak Melepaskan Melayu’) pada tahun 1275M dan pada tahun 1286M Kertanegara menghantar Arca Amogaphasa ke Dharmasraya sebagai tanda persahabatan dan juga sebagai tanda bahawa Dharmasraya adalah subjek kepada Kerajaan Singosari. Sebagai balasan, Raja Dharmasraya menghantar dua anaknya iaitu Dara Petak dan Dara Jingga untuk dinikahi oleh Kertanegara.

Jambatan menuju ke Muara Tebo

Tetapi Kertanegara telah terbunuh di ibukota Singosari dalam serang hendap yang dilakukan oleh Jayakatwang, sepupunya sendiri. Sebagai ganti menantu Kertanegara telah berkahwin dengan Dara Petak, manakala Dara Jingga berkahwin dengan seorang pembesar yang bernama Adwayawarman. Cerita mengenai Kertanegara dan permusuhannya dengan Dinasti Yuan dan kematian tragisnya di tangan Jayakatwang amat menarik untuk aku tampilkan di hari muka.

Masjid Al Falah atau Masjid Seribu Tiang
Tapi ada 256 tiang sahaja

Anak Dara Jingga adalah Adityawarman yang terkenal sebagai Raja Malayapura (Maharajadiraja) yang pertama di Pagaruyung (atau Suruaso… Tak pasti yang mana satu). Kalau ke Kota Padang mungkin anda pernah mendengar nama Muzium Adityawarman. Tokoh yang samalah ni…

Agak kompleks nak diceritakan di sini tentang Kerajaan Melayu Malayapura ini sebenarnya. Dipendekkan cerita, Kerajaan Pagaruyung itu dikatakan asalnya dari Malayapura.

MONAS Jambi

Perlu diingat juga sebahagian besar hidup Adityawarman adalah sebagai subjek Raja Majapahit iaitu pakciknya, Raden Wijaya, sepupunya Jayanegara dan Tribhuwana Tunggadewi.

Kesimpulan yang aku boleh nyatakan di sini, Kerajaan Dharmasraya ada hubungkait dengan susur galur Kerajaan Majapahit, Kerajaan Malayapura dan Pagaruyung.

Nantikan dipenulisan akan datang tentang kerajaan-kerajaan ini.

Sesungguhnya Alam Melayu itu luas!

Sekian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *