Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 4 – Kesultanan Jambi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selepas Kerajaan Pagaruyung ditubuhkan oleh Adityawarman di Pagaruyung (atau Suaraso), Jambi secara tidak langsung terletak di bawah kekuasaan kerajaan baru ini.

Kemudian Jambi tunduk di bawah kuasa Kerajaan Majapahit/Demak, Kerajaan Melayu Melaka dan seterusnya Kerajaan Melayu Riau Johor Lingga setelah Portugis menakluk Melaka.

Makam Rangkayo Hitam (gambar ehsan Google)

Sejarah awal kesultanan ini agak samar kerana teks dan catatan awal banyak berkisar tentang keadaan semasa di Jambi dan tidak secara langsung membicarakan tentang kesultanan ini. Namun, apa yang aku tahu, Jambi begitu maju sehingga dianggap sebagai pelabuhan kedua terkaya di Sumatera pada tahun 1616. Ia terkenal sebagai pusat pengumpulan dan eksport lada.

Ada pendapat mengatakan Kerajaan Jambi dimulai oleh Rangkayo Hitam pada tahun 1500 Masihi. Ada juga pendapat yang mengatakan sebaliknya Kerajaan Jambi diawali oleh Rangkayo Pingai pada tahun 1460 Masihi. Beliau adalah abang kepada Rangkayo Hitam.

Gambar ehsan Google

Kalau nak diikutkan, mungkin juga Kerajaan Jambi diawali oleh Tun Telanai atau Putri Selaras Pinang Masak. Putri ini merupakan ibu kepada 3 Rangkayo yang memerintah di zaman awal Kerajaan Jambi iaitu Rangkayo Pingai, Rangkayo Pedataran dan Rangkayo Hitam. Ianya hasil perkahwinan dengan warga Turki yang bergelar Dato Paduko Berhalo.

Namun aku lebih cenderung mengatakan kerajaan ini didahului oleh Rangkayo Hitam kerana di zaman beliau, ufti yang sering dihantar kepada Kerajaan Demak (ada yang mengatakan Mataram) tidak diteruskan lagi. Dalam erti kata yang lain, Rangkayo Hitam tidak menganggap Kerajaan Jambi sebagai vasal kepada Kerajaan Demak tetapi adalah sebuah kerajaan yang berdaulat.

Masyarakat Melayu Jambi

Cerita bagaimana Jambi mendapatkan kedaulatannya agak mistikal. Mitos mengisahkan bahawa Rangkayo Hitam ini kebal dan sakti orangnya, tidak lut dimakan senjata. Ianya tidak menghairankanku kerana Wilayah Kerinci yang terkenal sebagai Kota Alam Sakti juga di bawah telunjuk Rangkayo Hitam pada waktu itu. Aku sudah ke Kerinci dan sudah menyelusuri perdesaan wilayah mistik ini. Banyak kisah setempat yang telah aku dengari.

Masyarakat Melayu Jambi

Dipendekkan cerita, Kerajaan Demak mengiktiraf kedaulatan Kerajaan Jambi setelah gagal menundukkan Rangkayo Hitam dalam beberapa pertempuran dengan syarat mereka membantu Kerajaan Demak meluaskan empayarnya dan menyerang Melaka di bawah Portugis. Pada tahun 1512 Masihi, iaitu setahun selepas Kesultanan Melayu Melaka berakhir, Kerajaan Demak dengan dibantu oleh Jambi dan Palembang menyerang Melaka. Akanku ceritakan dengan lebih lanjut lagi kempen Pati Unus menentang Portugis ini di hari mendatang.

Gadis Melayu Jambi

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Raja Jambi pertama yang menganut agama Islam ialah Pangeran Kedak atau lebih dikenali sebagai Sultan Abdul Kahar yang memerintah di antara 1615 hingga 1643 Masihi. Bagiku, tarikh ini agak terlalu jauh dengan mula kedatangan Islam di Nusantara. Kajian lanjut harus lagi dijalankan untuk memastikan tarikh yang sebenar.

Awal abad ke-17, pada ketika ini Jambi sedang dalam usaha meloloskan diri daripada pengaruh Kerajaan Johor Riau dan di penghujung abad ke 17, kuasa Jambi semakin melemah dek kerana peperangannya menentang Kerajaan Johor Riau ini. Ia juga kerana pihak Inggeris meninggalkan pos dagangan setelah merasakan Jambi tidak lagi menguntungkan.

VOC atau dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda kemudiannya mengambil kesempatan dengan meluaskan pengaruhnya dan akhirnya, pada tahun 1688, mereka berjaya menangkap Sultan Sri Anum Suria Ingologo dan menahannya di Pulau Banda. Jambi kemudiannya terpisah kepada dua iaitu Jambi Hilir dan Jambi Hulu. Hanya pada tahun 1720, Jambi kembali bersatu. Sejak dari pembuangan daerah Sultan Sri Anum, Belanda menguasai Kerajaan Jambi ini sehingga kesultanan ini dibubarkan pada tahun 1904.

Makam Putri Selaras Pinang Masak (gambar ehsan Google)

Sultan Thaha Syaifuddin yang memerintah antara 1855 hingga 1904 adalah antara sultan yang paling fokus menentang Belanda. Baginda mangkat pada usia 80 tahun akibat luka perang di Muara Tebo. Aku sempat ke Muara Jambi untuk melihat tinggalan Sriwijaya di sana dan di daerah ini jugalah pusat Kesultanan Melayu Jambi berakhir. Kedudukan Muara Jambi yang berdekatan dengan Sungai Batanghari amat strategik malah tanahnya mendatar dan subur.

Sesudah mangkatnya Sultan Thaha, Belanda meletakkan Residen Belanda sehingga tahun 1942. Seramai 14 residen bertugas di Jambi sehinggalah kedatangan Jepun.

Makam Rangkayo Gemuk iaitu anak perempuan Dato Paduko Berhalo (gambar ehsan Google)

Kini, Jambi kembali beraja setelah Sultan Abdurrachman Thaha Syaifuddin pada 18 Mac 2012. Baginda dinobatkan oleh DYMM Tuanku Ratu Saripah Murliani Cahaya Kyasa Alam Nan Sakti Bahtuah, iaitu Sultan Alam Kerinci Nan Sakti. Ianya proses penobatan yang diiktiraf dan mengikut adat lama yang memerlukan kerabat Kerajaan Alam Kerinci Nan Sakti menyempurnakan pertabalan ini.

Demikianlah sedikit sebanyak kisah Kerajaan Melayu Jambi dan kemudiannya menjadi Kesultanan Melayu Jambi. Aku agak tertarik dengan tiga tokoh kerajaan ini iaitu Rangkayo Hitam (1500-1515), Sultan Sri Anum Suria Ingologo (1770-1790) dan Sultan Thaha Syaifuddin (1855-1904). Jika ada kelapangan masa, ingin aku mengkaji lebih mendalam mengenai tiga tokoh ini.

Pastinya penulisan mengenai Jambi tidak berakhir di Bahagian 4 ini. Akan ada peranan Jambi di dalam pergolakan Kerajaan Johor Riau, Kerajaan Pagaruyung, Sriwijaya dan Kerajaan Palembang.

Perkaitan inilah yang akan aku selami dengan lebih lanjut lagi. Nantikan…

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *