Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 5 – Kerajaan Malayupura

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aku mengakhiri Bahagian 3 Tawarikh Nusantara dengan nama Adityawarman sebagai pengasas Kerajaan Malayupura dan seterusnya Kerajaan Pagaruyung. Penulisan kali ini akan berkisar lebih kepada Kerajaan Malayupura dan juga siapakah Adityawarman yang menjadi ikon pelancongan Kota Padang dan Sumatera Barat amnya hari ini.

Museum Adityawarman di Kota Padang

Pendapat yang paling popular ialah Adityawarman ini adalah anak kepada Dara Jingga dan seorang pembesar yang hingga ke hari ini masih samar-samar identitinya. Namun berdasarkan Prasasti Kuburajo yang ditemui di Pagaruyung, nama Adwayawarman disebut sebagai ayahnya Adityawarman. Mengikut pendapat yang dipopularkan oleh Prof. Dr. Slamet Muljana dalam bukunya “Runtuhnya Kerajaan Hindu-Jawa dan Timbulnya Negara Negara Islam di Nusantara” , Adityawarman sebenarnya dihantar kembali ke Sumatera untuk menundukkan pemberontakan Indrawarman di Simalungun. Kerajaan Silo ini dimusnahkan oleh tentera Majapahit yang dipimpin oleh Adityawarman (dan ada juga menyebut kehadiran Patih Gajah Mada).

Keberadaan Adityawarman di Pagaruyung memang tidak dapat disangkal dengan penemuan beberapa prasasti (batu bersurat) seperti Prasasti Suruaso dan Prasasti Kuburajo.

Rumah gadang seperti ini terdapat di merata-rata tempat di SumBar

Kerajaan Malayupura ini diasaskan pada tahun 1347 pada ketika Tribuwana Tunggadewi menjadi Maharani Majapahit. Adityawarman menggunakan gelaran Maharajadhiraja atau “Raja segala raja” yang menandakan kedaulatan kerajaan ini. Cumanya ada pendapat yang mengatakan pengasas pertama Kerajaan ini sebenarnya adalah Akarendrawarman yang juga menggunakan gelaran Maharajadhiraja, tapi buat masa ini aku cenderung kepada Adityawarman sebagai pengasas kerana beliau sememangnya ada pertalian dengan Kerajaan Majapahit yang menjadi tuan kepada Bumi Jambi dan Kerajaan Dharmasraya pada ketika itu.

Satu lagi pendapat yang aku fikirkan ada logiknya datang daripada Prof. Uli Kozok yang merupakan pakar dalam kajian ‘Aksara Batak’. Pendapat beliau cenderung mengatakan Adityawarman tidak lahir di Majapahit, bukan anak Dara Jingga, tidak pernah ke China, malah tidak pernah menjejakkan kakinya di Majapahit. Pendapat mengenai asal usul Kerajaan Malayupura diawali oleh Akarendrawarman tadi pun datangnya dari Prof. Uli juga. Ada juga sejarawan Indonesia yang bersetuju dengan pendapat Prof. Uli Kozok ini. Alasan mereka mudah, mana mungkin pandangan yang dicatat oleh Prof. Dr. Slamet Muljana ini berdasarkan kepada catatan Mangaraja Onggang Parlindungan yang menulis buku Tuanku Rao pada tahun 1964. Bahan catatan Parlindungan ini pula diambil dari ‘transkrip lama’ yang dirampas oleh seorang warga Belanda bernama Poortman dari Klenteng (Kuil) Sam Po Kong Semarang dan dibawa pulang ke Belanda.

Menuju Kecamatan Belimbing untuk melihat rumah gadang lama

Begitulah secara ringkasnya cerita tentang identiti Adityawarman ini. Berbalik kepada Kerajaan Malayupura…

Setelah pulang ke Sumatera, Adityawarman menubuhkan Kerajaan Malayupura di Pagaruyung, berkemungkinan besar di sekitar Batu Sangkar. Dengan itu berakhirlah zaman Kerajaan Dharmasraya di Jambi. Di belakang Arca Amoghapasa ada terpahat tentang penguasaan Adityawarman yang dinamakan sebagai Prasasti Amoghapasa.

Pasar pagi di Kecamatan Belimbing

Setelah Adityawarman mangkat, anaknya yang bernama Ananggawarman naik takhta. Prasasti Batu Sangkar yang ditemui di Bukit Gombak mengesahkan ritual naik takhta ini. Dan beliau memerintah Malayupura antara 1375 hingga 1417.

Setelah kemangkatan Adityawarman, Raja Wikramawardhana iaitu menantu Raja Majapahit paling terkenal, Hayam Wuruk, telah menyerang Pagaruyung tetapi dapat ditumpaskan oleh Ananggawarman di Padang Sibusuk.

Setelah kemangkatan Ananggawarman, Malayupura agak bergolak kerana tiada pengganti yang benar-benar layak. Dikatakan, Wijayawarman (berkemungkinan orang yang sama dengan Tuanku Marajo Sati atau Dewang Pandan Putoweno), menantu Ananggawarman telah naik takhta.

Kemudian, Puti Panjang Rambut 2 pula naik takhta. Beliau ialah anak kepada Wijayawarman dan Puti Reno Bungsu Silindung Bulan. Beliau juga terkenal dengan gelaran Bundo Kanduang atau Bunda Kandung yang bermaksud sebagai ketua keluarga atau ratu pemimpin negara. Dalam sejarah Minangkabau terdapat beberapa Bunda Kanduang ini.

SumBar… Provinsi 1,000 prasasti bilang temanku dari Jambi

Kajian lebih mendalam perlu dilakukan jika betul-betul hendak memastikan salasilah raja-raja Malayupura dan Pagaruyung selepas Ananggawarman mangkat. Penulisan Bahagian 6 nanti pastinya akan berkisar dengan pengislaman Kerajaan Pagaruyung, perang saudara antara Kaum Adat dan Kaum Padri (ulamak) dan juga kedatangan Belanda.

Sehingga Bahagian 5 ini, bolehlah disimpulkan bahawa Kerajaan Malayupura yang berdaulat itu asalnya dari Kerajaan Dharmasraya yang menjadi vasal atau mungkin lebih tepat digelar sekutu kepada Kerajaan Singosari dan Majapahit atas dasar ‘Mitra Satata‘ atau kerajaan-kerajaan berdaulat yang bersekutu.

Malayupura juga berevolusi menjadi Kerajaan Pagaruyung dan menguasai beberapa kerajaan kecil di sekitar Sumatera Tengah.

Bersambung di Bahagian 6, InsyaAllah

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *