Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kerajaan Pagaruyung juga dikenali sebagai Kerajaan Minangkabau. Penulisan kali ini mungkin agak kontroversi kerana aku akan menyentuh sedikit tentang kedatangan Islam di Ranah Minang ini. Seperti yang aku nyatakan di dalam artikel ‘Mengapa Asia Tenggara Dan Mengapa Saya Menulis’, aku ada mengingatkan bahawa sejarah itu ditulis berdasarkan pentakrifan sejarawan itu sendiri. Apa yang penting sebarang penulisan itu mestilah berdasarkan kepada fakta.. Ambillah intipati penulisan kali ini untuk kajian anda sendiri di masa hadapan.

Bahagian 5 yang lepas menceritakan tentang penubuhan Kerajaan Malayupura yang diasaskan oleh Adityawarman. Ianya menjadi asas tertubuhnya Kerajaan Pagaruyung ini. Selepas kemangkatan Ananggawarman (anak Adityawarman), salasilah Raja/Sultan Minangkabau serta bilakah pengislaman kerajaan ini berlaku agak kabur. Ketiadaan teks atau catatan yang kukuh telah menyebabkan pelbagai hipotesis dan pendapat dilemparkan oleh para pengkaji.
Ada yang menyatakan bahawa Sultan Islam yang pertama ialah Sultan Alif Chalifatullah yang naik takhta pada tahun 1650 Masihi. Ada pula yang menyatakan sultan yang pertama bergelar Yang Dipertuan Sultan Bakilap Alam yang memerintah sekitar 1409 Masihi.

Apa yang pasti setelah zaman Malayupura tamat dan digantikan dengan Kerajaan Pagaruyung, sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Adityawarman telah berevolusi menjadi sistem pemerintahan autonomi lebih daripada 500 wilayah yang lebih sesuai dengan rakyat Minangkabau ini. Wilayah berkuasa autonomi ini dipanggil Nagari. Bak kata pepatah lama Minangkabau ‘Dari Taratak manjadi Dusun, dari Dusun manjadi Koto, dari Koto manjadi Nagari, Nagari ba Panghulu’. Begitulah halnya dengan sistem pemerintahan Pagaruyung ini.
Yang Dipertuan Pagaruyung atau Raja Alam merupakan pemerintah tertinggi dan dibantu oleh Raja Adat (yang menjaga hal-hal bersangkutan Adat) dan Raja Ibadat (yang menjaga hal-hal bersangkutan dengan agama). Paksi ini dinamakan Rajo Tigo Selo ( tiga raja yang bersila atau bertakhta).

Pengislaman daerah Minangkabau ini berlaku secara intensif pada tahun 1513 Masihi dan ianya ditunjangi oleh Tuanku Burhanuddin Syah yang memerintah Pariaman, subjek kepada Kerajaan Aceh yang sebenarnya ingin menguasai perdagangan lada di Pagaruyung sepertimana Kerajaan Pasai menguasai perdagangan lada di Kampar Kiri dan Kampar Kanan.
Salah satu cara untuk menguasai perdagangan lada ialah dengan mengislamkan Pagaruyung sealiran dengan Aceh iaitu Islam Aliran Syiah. Aku akan menulis dengan panjang lebar akan kedatangan Islam di Sumatera dalam penulisan yang akan datang kerana ia lebih berkisar kepada Kerajaan Perlak, Kerajaan Pasai dan kemudiannya Kerajaan Samudera Pasai. Ianya penulisan yang agak kompleks kerana kedatangan Islam ke Nusantara bukan sahaja melibatkan pendakwah, saudagar dan pedagang dari India, Parsi, Arab dan Mesir tetapi ianya melibatkan kerajaan Islam besar seperti Fathimiah dan juga Mamluk. Nantikan sahaja penulisannya di masa akan datang.

Berbalik kita kepada usaha Tuanku Burhanuddin Syah dan seterusnya Perang Padri (Agama)…
Usaha mengislamkan rakyat Pagaruyung ini berlangsung dari 1513 hingga tahun 1697 Masihi. Tenaga pengajar didatangkan dari Gujarat atau Kambayat. Setelah Kerajaan Fathimiah dijatuhkan di Mesir, usaha penyebaran Aliran Syiah di Nusantara merosot. Ini menyebabkan penduduk di Daerah Minangkabau ini melakukan banyaknya kegiatan-kegiatan yang melanggar syariat Islam.
Pada tahun 1803, tiga orang pendakwah yang diindoktrinasi dengan fahaman Kerajaan As-Saud telah pulang ke Daerah Minangkabau dan mula menjalankan usaha dakwah berlandaskan ajaran Al Quran dan sunnah. Sudah semestinya ianya Aliran Sunni yang ditentang oleh pengikut ajaran Syiah yang menggunakan gelar Kaum Adat.

Ketiga-tiga pendakwah ini dikenali sebagai Haji Piobang, Haji Sumanik dan Haji Miskin dan mereka mendapat mandat langsung dari Pemerintah Saudi iaitu Abdullah Bin Saud.
Pada mulanya penduduk setempat tdak memberi kerjasama kepada mereka sehingga mereka berura ura hendak menghadap Jeneral Muhammad Ali Pasha di Mesir yang kini dikuasai oleh Mamluk. Namun kerana risaukan tindak balas dari Kerajaan Saudi yang bercita-cita merampas Mesir, mereka tidak meneruskan niat itu.

Bercerita tentang Kerajaan Pagaruyung, ianya tidak dapat dipisahkan dengan perang yang dinamakan Perang Padri. Ianya terjadi di antara tahun 1803 hingga 1838. Kerana perang inilah Kerajaan Pagaruyung runtuh dan Belanda mengambil alih kuasa pemerintahan Daerah Minang ini. Kaum Padri ditunjangi oleh Harimau Nan Salapan iaitu pimpinan lapan orang pembesar yang digelar Tuanku. Tuanku Rao yang terkenal adalah salah seorang daripada anggota Harimau Nan Salapan ini.
Kaum Adat pula diketuai oleh Yang Dipertuan Sultan Ariffin Muningsyah, Sultan Pagaruyung pada ketika itu.
Perang ini berada di kemuncak apabila Tuanku Pasaman menyerang Pagaruyung dan Sultan Ariffin Muningsyah terpaksa melarikan diri dari ibukota kerajaan pada waktu itu. Perang ini juga menyebabkan Istana Pagaruyung hangus terbakar. Pada tahun 1821, Sultan Tangkal Alam Bagagar menandatangani perjanjian dengan Belanda untuk membantu Kaum Adat memerangi Kaum Padri. Bagi Belanda, ianya tanda rasmi penyerahan kuasa Pagaruyung kepada mereka walaupun ramai masyarakat Minang menganggap ianya tidah sah kerana Sultan Tangkal Alam Bagagar tidak mendapat mandat.

Berlaku beberapa siri pertempuran antara Belanda dan Kaum Padri dan kemuncaknya Kaum Padri dipukul mundur keluar dari Pagaruyung pada 4 Mac 1822. Sesudah kemenangan besar ini, Pihak Belanda membina kubu besar yang dinamakan Fort Van der Capellen di Batu Sangkar. Terbukti pentingnya kubu baru ini kerana dalam beberapa pertempuran yang gagal dimenangi oleh Belanda, mereka pasti akan berkubu kembali di Batu Sangkar ini untuk membina kembali kekuatan.
Sepanjang peperangan ini banyak tokoh-tokoh besar Belanda yang mati dan ini membuktikan betapa sukarnya Pihak Belanda hendak menundukkan Kaum Padri yang bermotivasi tinggi. Pada 15 November 1825, Belanda dan Kaum Padri menandatangani Perjanjian Masang yang membawa kepada gencatan senjata.

Tempoh gencatan senjata ini digunakan oleh pemimpin Kaum Padri terutamanya Tuanku Imam Bonjol untuk memenangi hati Kaum Adat. Akhirnya satu persefahaman atau kompromi yang dinamakan Plakat Puncak Pato telah dimeterai. Adat Basandi Syarak yang bermakna adat Minangkabau berpandukan kepada Islam yang ditunjangi oleh Al Quran diwujudkan.
Setelah Belanda memulihkan kekuatan mereka selepas Perang Diponegoro, mereka melanggar perjanjian gencatan senjata dan menyerang Nagari Pandai Sikek dan membina Fort de Kock di Bukittinggi. Serangan besar Belanda ke Daerah Bonjol tidak berhasil dan akhirnya mereka menipu (seperti biasa…) Tuanku Imam Bonjol untuk datang berunding, namun, sebenarnya ia adalah perangkap untuk menangkap beliau. Jatuhnya Bonjol yang diterajui oleh Tuanku Imam Bonjol merupakan tamparan hebat kepada Kerajaan Pagaruyung.
Dipendekkan cerita, akhirnya Belanda berjaya menakluk pertahanan terakhir Orang Minangkabau dengan jatuhnya Dalu Dalu (Rokan Hulu) yang dipimpin oleh Tuanku Tambusai. Beliau mundur ke Negeri Sembilan dan dengan itu Kerajaan Pagaruyung berada sepenuhnya di bawah VOC dan dinamakan Wilayah Padangse Bovenlanden, sebahagian daripada Pax Netherlandica.
Begitulah berakhirnya Kerajaan Pagaruyung dengan sultannya yang terakhir ialah Sultan Ariffin Muningsyah yang mangkat pada tahun 1825 di Pagaruyung pada usia 80 tahun. Cerita Pagaruyung ini seakan-akan peristiwa yang terjadi di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor.
Sesungguhnya tanah dan kedaulatan kita sering jatuh ke tangan penjajah dek kerana kerakusan kita dengan kuasa. Kitalah jua yang menjemput ‘mereka’ datang dengan senjata berat yang berkilauan dan membinasakan.
Satu lagi perkara yang aku sudah terlalu biasa memdengaranya apabila berbicara tentang kebangkitan nasionalime di Indonesia ialah bagaimana Pihak Belanda sering sahaja menggunakan taktik ‘mahu berunding’ tapi akhirnya ia hanyalah perangkap untuk menangkap pemimpin lokal yang hebat lagi keras kepala.bagi melumpuhkan kuasa tentangan yang ditunjangi oleh mereka.
Demikianlah kisah ringkas Kerajaan Pagaruyung untuk tatapan anda sekalian buat kali ini.
Sekian