Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 8 – Kerajaan Majapahit (Zaman Kegemilangan)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bahagian 7 yang lalu diakhiri dengan kisah pembunuhan Kertanegara oleh Jayakatwang dan Raden Wijaya diberi pengampunan lalu dibenarkan untuk meneroka kawasan baru di Wilayah Tarik.

Namun cita-cita sebenar Raden Wijaya adalah untuk merampas kembali takhta pemerintahan daripada Jayakatwang. Apabila tentera Dinasti Yuan yang diketuai oleh Ike Mese, Shi Bi dan Gaoxing tiba di Tuban untuk menyerang Singosari, Raden Wijaya mengambil kesempatan ini untuk berbaik-baik dengan tentera Yuan dengan menyerahkan peta Kalang kepada mereka. Malah Raden Wijaya berjanji untuk membayar ufti kepada Dinasti Yuan dan bersetuju bahawa kerajaan baru yang akan ditubuhkan kelak berkiblatkan Dinasti Yuan di Khanbalik.

Dipendekkan cerita, Jayakatwang ditewaskan oleh gabungan tentera Mongol dan Jawa. Satu upacara diadakan untuk meraikan kejayaan ini. Raden Wijaya meminta kebenaran untuk pulang ke Majapahit bagi menyiapkan ufti untuk dipersembahkan kepada Khublai Khan sepertimana yang telah dijanjikan sebelum ini. Tentera Yuan pula masih berada di Kediri, berpesta mabuk bergembira.

Sebenarnya Raden Wijaya tidak menyiapkan ufti malah tenteranya membunuh askar pengiring Mongol yang tidak lengkap bersenjata. Raden Wijaya kemudiannya menyiapkan angkatan tentera untuk menyerang tentera Yuan yang sedang bergembira tadi.

Ilustrasi Bhayangkara Kerajaan Majapahit. Bhayangkara ni bolehlah dianggap seperti Hulubalang (gambar ehsan Google)

Raden Wijaya dan bala tenteranya menyerang hendap Ike Mese dan tentera Yuan menyebabkan mereka berundur ke pelabuhan dan akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Kepulauan Jawa untuk pulang ke China.

Maka terdirilah Kerajaan Majapahit yang gemilang pada tahun saka 1216 atau tahun 1294 M. Raden Wijaya dikenali juga sebagai Abisheka Kertajasa Jayawardana. Kalau mengikut Babad Tanah Jawi dan Serat Kanda, raja pertama Kerajaan Majapahit ialah Brawijaya. Panggilan Bra adalah sama dengan Bhra/Bhre atau Cri/Sri yang bermaksud ‘Sinar’. Ianya biasa digunakan untuk sebutan raja.

Dalam Bahagian 3 aku ada menyatakan bahawa Raden Wijaya ada menikahi Dara Petak iaitu anak kepada Raja Dharmasraya, Raja Srimat Tribuwanaraja Mauliawarmadewa. Beliau juga dikenali dengan nama Indreswari. Pada masa yang sama Raden Wijaya sudah berkahwin dengan 4 orang anak Kertanegara.

Ilustrasi Patih Gajah Mada (gambar ehsan Google)

Hasil daripada perkahwinan Raden Wijaya dan Dara Petak lahirlah Jayanegara yang memerintah di antara tahun 1309 M hingga tahun 1328 M. Kerana Jayanegara ini berdarah campuran Melayu-Jawa, beliau agak berprasangka terhadap orang disekelilingnya. Ianya bukanlah suatu prasangka yang tidak berasas kerana beliau akhirnya dibunuh oleh tabibnya sendiri yang bernama Tanca. Tabibnya pula ditikam mati oleh Patih Gajah Mada.

Patih Gajah Mada kemudiannya mengangkat Bhre Kahuripan dan Bhre Daha sebagai Rani Majapahit. Tribhuwana Wijayatunggadewi (Bhre Kahuripan) yang merupakan anak Raden Wijaya dengan ibu yang bernama Dyah Gayatri (anak Kertanegara) menjadi pemerintah ketiga Majapahit. Kini, kerajaan ini ditunjangi oleh Orang Jawa sepenuhnya. Pemerintahan rani ini dibantu oleh suaminya Kertawardana. Raja terkemuka Kerajaan Majapahit iaitu Hayam Wuruk lahir daripada perkahwinan ini.

Candi Brahu di Trowulan, Mojokerto (gambar ehsan Google)

Ketika pemerintahan Tribhuwana ini juga Sumpah Palapa (Nusantara) diucapkan oleh Patih Gajah Mada dihadapan baginda rani. Sumpahnya berbunyi begini,

“Lamun huwus kalah nusantara, isun amukti palapa; lamun kalah ring Gurun, ring Seran, ring Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana isun amukti palapa”

Maksudnya…

“Kalau Nusantara telah tunduk, Aku baru akan beristrirehat. Kalau Gurun (Lombok), Seran (Seram), Tanjungpura (Kalimantan), Haru (Sumatera Utara), Pahang (Malaya), Dompo, Bali, Sunda, Palembang dan Tumasik (Singapura) telah tunduk, pada waktu itu, Aku akan beristrirehat”

Di zaman Tribhuwana Tunggadewi dengan ditunjangi oleh kepimpinan Patih Gajah Mada, Majapahit menjadi kuasa yang kuat di Nusantara. Ekspedisi memperluaskan kuasa dimulakan dengan tentera Majapahit melanggar Kesultanan Aru/Barumun iaitu kerajaan Orang Batak/Karo Pagan. Ianya terjadi pada tahun 1339 M dan serangan diketuai oleh Adityawarman. Kesultanan Kuntu/Kampar juga dijatuhkan oleh Adityawarman.

Menurut Negarakertagama, Pupuh 13/1, ada menyebut daerah daerah ini sebagai ‘jajahan’ Majapahit iaitu, Jambi, Palembang, Toba, Dharmasraya, Kandis, Kahwas, Minangkabau, Siak, Rokan, Kampar, Panai, Kampai, Haru (Mandailing), Tumihang, Perlak, Samudera, Lamuri, Batan, Lampung dan Barus. Pada hakikatnya Samudera-Pasai tidak pernah tunduk kepada Kerajaan Majapahit. Negarakertagama dan Pararaton juga tidak pernah menceritakan tentang apa apa ekspedisi ketenteraan di Tanah Sumatera.

Candi Bajang Ratu di Trowulan, Mojokerto (gambar ehsan Google)

Dikatakan juga kerana kegagalan inilah Adityawarman mewujudkan Kerajaan Malayupura setelah beliau menundukkan Kerajaan Kuntu/Kampar. Kerajaan Majapahit hanya menyerang Kerajaan Malayupura di Padang Sibusuk pada tahun 1409 M di bawah pemerintahan Wikrawardhana@Hyang Wisesa (raja ke-5 Majapahit). Namun serangan ini gagal dan Kerajaan Malayupura seterusnya berevolusi menjadi Kerajaan Minangkabau.

Pararaton dan Kitab Sundayana bagaimanapun ada menyebut tentang serangan Kerajaan Majapahit ke atas rombongan Kerajaan Sunda yang dikenali sebagai Perang Bubat. Ianya berlaku pada tahun 1359 M dan dipimpin sendiri oleh Patih Gajah Mada. Dyah Pitaloka Citraresmi sepatutnya diperisterikan oleh Hayam Wuruk tetapi Patih Gajah Mada tidak menyukainya dan beranggapan ini adalah peluang terbaik Majapahit menakluk Kerajaan Sunda. Dyah Pitaloka bagaimanapun membunuh dirinya untuk menjaga kehormatan diri dan Kerajaan Sunda. Ini adalah suatu kegagalan besar Patih Gajah Mada untuk menakluk Kerajaan Sunda.

Hayam Wuruk menjadi raja Majapahit yang ke-4 setelah ibunya Tribhuwana Tunggadewi menyerahkan takhta pemerintahan kepada beliau. Tidaklah diketahui bila peralihan kuasa ini terjadi. Yang pastinya, mengikut Negarakertagama, Hayam Wuruk mangkat pada tahun 1389 M dan digantikan oleh Hyang Wisesa.

Di zaman Hayam Wuruk, ekspedisi ketenteraan diteruskan dengan beberapa siri pertempuran seperti serangan ke atas Kerajaan Dayak Maanyan di Kalimantan dan juga ekspedisi Patih Gajah Mada ke Bali/Bedulu.

Kematian Patih Gajah Mada pada tahun 1364 M telah melemahkan Kerajaan Majapahit. Kegagalan Dewan Pertimbangan Agung untuk memilih calon yang layak menjawat jawatan Patih Amangku Bumi ini menyebabkan Hayam Wuruk terpaksa mengambilalih tanggungjawab besar ini. Dewan ini dianggotai oleh Tribhuwana Tunggadewi, Kertawardhana, Bhre Daha, Raja Wengker iaitu Wijayarajasa, Bhre Lasem, Rajawawardhana, Bhre Pajang dan Singawardhana. Hanya setelah 3 tahun barulah Hayam Wuruk menemui pengganti Patih Gajah Mada yang bernama Gajah Enggon.

Hayam Wuruk mangkat pada tahun 1389 M dan digantikan oleh Hyang Wisesa. Maka bermulalah zaman kejatuhan Majapahit yang akan aku hidangkan pada Bahagian 9.

Daripada sumber sumber pembacaan dan penyelidikanku, aku berpendapat bahawa Kerajaan Majapahit hanya berkuasa secara terus di Wilayah Jawa Timur, sebahagian Jawa Tengah dan juga kepulauan berhampiran. Konsep mitra satata iaitu persahabatan mungkin disalah erti sebagai ‘tanda tunduk kepada kekuasaan Trowulan Majapahit’. Namun begitu, Kerajaan Majapahit mampu untuk menyerang wilayah yang agak jauh dari pusat pemerintahannya.

Walau apa pun tanggapan dan pendapat para sejarawan, Kerajaan Majapahit sememangnya kerajaan yang gagah di zaman kegemilangannya. Sebesar dan segagah mana Kerajaan Majapahit ini… itu bergantung kepada persepsi masing masing dalam menghurai catatan dan bukti sejarah yang ditinggalkan.

Bahagian 9 nanti aku akan bercerita tentang kejatuhan Kerajaan Majapahit pula, InshaAllah

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *