Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 9 – Kerajaan Majapahit (Zaman Kejatuhan)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Untuk merungkaikan salasilah Kerajaan Majapahit setelah kemangkatan Hayam Wuruk agak sulit sebenarnya kerana Negarakertagama ditulis sehingga tahun 1365 M, manakala Pararaton agak bercelaru penulisannya. Babad Tanah Jawi dan Serat Kanda pula amat diragukan oleh pengkaji sejarah.

Hasil daripada perkahwinan antara Hayam Wuruk dan Paduka Sori, lahirlah Kusumawardhani atau Bhre Lasem. Beliau kemudiannya bernikah dengan Wikramawardhana.

Pada masa yang sama, Hayam Wuruk mempunyai anak yang bernama Bhre Wirabhumi yang lahir dari hubungannya dengan seorang ‘selir’ (gundik). Hubungan antara Wikramawardhana (menantu Hayam Wuruk) dan Bhre Wirabhumi ialah ipar duai.

Ilustrasi Kota Trowulan (gambar ehsan Google)

Wikramawardhana juga dikenali sebagai Hyang Wisesa menjadi raja Majapahit yang ke-5 bersemayam di ibukota, Trowulan manakala Bhre Wirabhumi menjadi penguasa kecil di Bahagian Timur iaitu di sekitar Blambangan.

Perselisihan antara Hyang Wisesa dan Bhre Wirabhumi bermula sekitar tahun 1401 M dan peperangan antara Trowulan dan Blambangan tidak dapat dielakkan. Maka terjadilah Perang Paregreg yang berlangsung selama 3 tahun di antara tahun 1404 M hingga 1406 M.

Perang Paregreg bermaksud Perang Yang Panjang dan ianya terjadi akibat daripada perlantikan menantu Wikramawardhana sebagai Bhre Lasem. Ini mendatangkan ketidakpuasan hati Bhre Wirabhumi.

Diceritakan bahawa penamat perang ini adalah apabila Bhre Tumapel, iaitu anak Wikramawardhana menyerang Blambangan dan menumpaskan tentera Bhre Wirabhumi. Bhre Wirabhumi kemudiannya melarikan diri menggunakan

perahu di waktu malam namun dapat dikejar oleh Bhra Narapati lalu dipenggal kepalanya dan dibawa pulang ke Trowulan untuk dipersembahkan kepada Wikramawardhana.

Selepas tamat Perang Paregreg, Hyang Wisesa memerintah Majapahit sehingga tahun 1427 M dan digantikan oleh Dewi Suhita iaitu anak kepada Hyang Wisesa dengan Kusumawardhani. Beliau mangkat pada tahun 1447 M tanpa meninggalkan zuriat.

Ilustrasi tentera Majapahit di bawah pimpinan Patih Gajah Mada menyerang rombongan puteri raja Kerajaan Sunda di Bubat (gambar ehsan Google)

Maka terjadi lagi pertikaian di antara waris Hyang Wisesa dan waris Wirabhumi. Bhre Narapati telah dibunuh oleh waris Wirabhumi sebagai tindakan membalas dendam. Sri Kertawijaya yang pada waktu itu adalah Bhre Tumapel kemudiannya menjadi raja Majapahit yang ke 8.

Perbalahan terus berlaku sehinggalah naiknya raja Majapahit yang ke-13 iaitu Kertabhumi. Ada pendapat yang mengatakan Kertabhumi adalah raja yang ke-11. Beliau memerintah di antara tahun 1474 M hinggalah tahun 1478 M. Menurut Babad Tanah Jawi dan Serat Kanda, Kertabhumi juga dikenali sebagai Brawijaya 5.

Pada ketika ini kebangkitan Kesultanan Melayu Melaka pada pertengahan abad ke-15 di Selat Melaka telah mengurangkan penguasaan Majapahit. Dari Melaka berlakunya usaha pengislaman rantau nusantara dengan pesat dan Kepulauan Jawa juga tidak terkecuali.

Menurut Mangaradja Onggang Parlindungan, pengislaman Kepulauan Jawa dilakukan oleh Orang Keturunan Cina Bong dan Ma. Penulisan beliau berdasarkan kepada kronik Cina dari Kuil Sam Po Kong Semarang yang diambil dan dibawa puang ke Belanda oleh Residen Belanda yang bernama C Poortman. Melalui pengislaman inilah berdirinya Kerajaan Islam Demak yang kemudiannya menjatuhkan Kerajaan Majapahit. Pendapat ini amat kontroversi di Indonesia dan aku akan membincangkan pendapat ini dengan lebih lanjut lagi ketika membicarakan tentang Kerajaan Demak di Bahagian 10 kelak.

Peta di mana dikatakan terjadinya Perang Bubat (gambar ehsan Google)

Kisah pengakhiran Kerajaan Majapahit agak kompleks kerana terdapat beberapa pendapat mengenainya.

Terdapat kronogram atau candrasengkala yang berbunyi sirna ilang kretaning bumi. Ia bermaksud ‘sirna hilanglah kemakmuran bumi’ dan bertarikh 1478 M. Ianya dianggap sebagai tarikh berakhirnya Kerajaan Majapahit.

Terdapat beberapa pendapat bagaimana Kerajaan Majapahit ini berakhir.

Pendapat pertama berakhirnya Kerajaan Majapahit berasaskan kepada Prasasti Petak yang mengatakan bahawa Bhre Kertabhumi dikalahkan oleh Girindrawardhana Dyah Ranawijaya.

Surya Majapahit (gambar ehsan Google)

Pendapat kedua pula mengatakan Brawijaya 5 dikalahkan oleh Raden Patah daripada Kerajaan Demak dan diislamkan oleh Sunan Kali Jaga. Pendapat lain pula mengatakan Brawijaya 5 lari ke Bali dan ini boleh didapati di dalam babad dan serat yang amat diragukan kesahihannya.

Pendapat ketiga berdasarkan kronik Cina dari Kuil Sam Po Kong Semarang yang mengatakan Bhre Kertabhumi telah dikalahkan oleh Raden Patah daripada Kerajaan Demak pada tahun 1478 M. Namun Kerajaan Majapahit masih diberi kebenaran untuk berdiri sehinggalah dimusnahkan dan dibumihangus oleh Sunan Gunung Jati pada tahun 1527 M. Raja Majapahit yang terakhir mengikut kronik Cina ini ialah Girindrawardhana atau Dyah Ranawijaya, menantu Kertabhumi.

Pendapat keempat pula menyatakan bahawa raja Majapahit yang terakhir ialah Bhre Pandan Salas yang dibunuh oleh anak anak Sang Sinagara. Anak anak yang dimaksudkan ini ialah Bhre Kertabhumi dan saudara saudaranya. Pendapat ini berasaskan kepada Pararaton.

Begitulah serba ringkas tentang Kerajaan Majapahit yang seperti kebanyakan kerajaan kerajaan gemilang di dunia hancur kerana perebutan kuasa.

InshaAllah akan bersambung dengan Bahagian 10 nanti.

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *