Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bahagian 7 Tawarikh Nusantara akan berkisar tentang Kerajaan Singosari atau Singhasari yang beribukota di Jawa Timur. Aku ada menyentuh serba sedikit mengenai Kerajaan Singosari ketika membicarakan tentang Kerajaan Dharmasraya (Bahagian 3) dan ekspedisi Pamalayu berserta Arca Amogaphasa yang dihantar oleh Kertanegara kepada Raja Wangsa Mauli di Jambi. Kesinambungan dari itu, aku merasakan ada kewajaran untuk menulis serba ringkas mengenai Kerajaan Singosari ini diikuti kemudiannya oleh Kerajaan Majapahit.
Kerajaan Singosari pada asalnya dikenali sebagai Kerajaan Tumapel dan diasaskan oleh Ken Arok pada tahun 1222 M setelah mengalahkan Kerajaan Kediri dalam Perang Ganter (Perang Yang Panjang).
Namanya ditukar kepada Singosari/Singhasari di zaman pemerintahan Kertanegara. Kerajaan ini bertahan selama 70 tahun, sehingga tahun 1292 M setelah kematian rajanya yang terakhir iaitu Kertanegara. Tumapel adalah sebuah kawasan di Malang, Jawa Timur. Aku akan membuat penulisan khas mengenai Ken Arok dan Kertanegara di lain hari.

Pararaton dan Negarakertagama ada menceritakan tentang Kerajaan Singosari. Namun, terdapat beberapa perbezaan ketara di antara dua sumber tersebut seperti period pemerintahan raja-rajanya.
Prasasti Mula Malurung yang ditemui sedikit sebanyak membantu pengkaji sejarah dalam meluruskan salasilah pemerintahan yang berbeza di dalam Pararaton dan Negarakertagama.
Secara keseluruhnnya empat raja telah memerintah (menurut versi Negarakertagama) dengan yang terakhir ialah Kertanegara yang terkenal. Tohjaya, menurut prasasti yang ditemui adalah Raja Kediri dan bukannya Raja Tumapel, sekaligus mengenepikan sumber Pararaton bahawa beliau adalah Raja ketiga Singosari.

Kerajaan ini padaku bukanlah kerajaan yang stabil kerana terlalu banyak kisah pengkhianatan, pertempuran dan pembunuhan sejak dari Ken Arok naik takhta hinggalah kematian Kertanegara 70 tahun kemudiannya. Keturunan Tunggul Ametung dan Ken Arok saling berbunuhan sehinggalah ketibaan Mongol di Tanah Jawa pada tahun 1293.
Pada zaman pemerintahan Wisnuwardhana (cucu Tunggul Ametung), Singosari terpecah kepada dua dengan sebahagian lagi di bawah kuasa Narasingamurti (cucu Ken Arok). Hanya Kertanegara yang berjaya menggabungkan kembali kedua dua pihak ini.
Kertanegara merupakan seorang raja yang berimpian besar dan ingin meluaskan kerajaannya di nusantara. Beliau menakluk Bali pada tahun 1284 dan dengan beraninya terang terangan menentang Khublai Khan yang mahu Singosari menjadi vasal kepada Dinasti Yuan. Diceritakan bahawa Kertanegara mengarahkan telinga wakil Yuan yang bernama Meng Khi dipotong sebagai tanda menolak hasrat Khublai Khan itu.
Kerajaan ini berakhir apabila Kertanegara dibunuh oleh orang suruhan Jayakatwang (sepupu dan besan Kertanegara sendiri) yang menyerang istananya ketika mengadakan perayaan keagamaan. Jayakatwang telah menghantar tentera yang diketuai oleh Jaran Guyang untuk menyerang ibukota Tumapel dari arah Utara, Namun serangan ini hanyalah satu tipu helah kerana pasukan yang lebih besar dipimpin oleh Patih Mahisa Mundarang menyerang dari arah Selatan.

Dalam kekalutan ini, menantu Kertanegara yang bernama Raden Wijaya mengetuai serangan menentang Jayakatwang dari arah Utara dan terselamat daripada kemusnahan di Tumapel. Beliau diberi pengampunan oleh Jayakatwang dan membuka penempatan di Trowulan, ibukota Majapahit.
Begitulah serba sedikit ceritera Singosari sebagai pembuka mata. Banyak lagi kisah Singosari yang boleh ditelusuri seperti kisah Ken Dedes, Mpu Gandring, Tunggul Ametung, Anusapati dan lain lain lagi.
Jika anda ke Gunung Bromo atau Semeru, melalui Kota Malang, boleh saja singgah sebentar di Desa Candirenggo, Kecamatan Singosari untuk melihat tinggalan Candi Singosari di sana.
InshaAllah penulisan seterusnya mengenai pembukaan majapahit dan zaman kegemilangannya.
Sekian