Sejarah Warisan

Ukiran Gajah Pada Candi Sukhothai

Di Old Sukhothai ada dua candi yang berukiran gajah iaitu Wat Sorasak yang dianggap sebagai ikon Sukhothai dan Wat Chang Rob yang berada di kawasan candi berbukit, juga di Old Sukhothai. Chang, seperti yang kita sedia maklum bermaksud gajah.

Di Si Satchanalai pula ada candi berukiran gajah yang lebih besar iaitu Wat Chang Lom tetapi Si Satchanalai ini kurang dilawati oleh pelancong kerana jaraknya yang jauh dari Sukhothai, sekitar 55 kilometer ke Utara.

Wat Chang Lom di Si Satchanalai
Ukiran gajah pada Wat Chang Lom

Namun, candi berukiran gajah paling gah sebenarnya ada di Kamphaeng Phet, di sebelah Selatan Sukhothai yang berjarak sekitar 79 kilometer. Candi ini dinamakan Wat Chang Rob. Jadinya, ada 4 candi yang bertemakan gajah daripada puluhan candi yang ada.

Wat Sorasak di Old Sukhothai
Ukiran gajah pada Wat Sorasak

Apa signifikasi candi berukiran gajah ini?

Yang pertamanya, candi berukiran gajah menandakan ianya dibina pada zaman pemerintahan raja-raja Phra Ruang atau Sukhothai. Seni reka ini asalnya daripada Sri Lanka yang mengamalkan Buddha Theraveda.

Wat Chang Rob di Old Sukhothai

Keempat-empat candi ini mempunyai konsep rekaan yang sama iaitu ukiran gajah yang mengelilingi kesemua empat muka dinding candi tersebut. Apa maksudnya? Menurut ajaran Buddha, Gunung Meru merupakan titik tengah dunia, dan gajah-gajah ini memikul beban dunia tersebut. Sebab itulah gajah ini ada di sepanjang dinding candi. Ia juga membawa maksud Jambudvipa atau dunia segala manusia dan haiwan. Manakala stupa atau chedi yang terletak di tengah-tengah candi melambangkan Gunung Meru itu sendiri.

Demikianlah ceritanya secara ringkas…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *